PEKERJA Larkin Sentral menampal pelekat sebagai persediaan VTL-Darat di Larkin Sentral. FOTO Omar Ahmad
PEKERJA Larkin Sentral menampal pelekat sebagai persediaan VTL-Darat di Larkin Sentral. FOTO Omar Ahmad
Nurul Amanina Suhaini

Iskandar Puteri: Pembukaan semula sempadan darat secara berperingkat dengan pelancaran Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin-Laluan Darat (VTL-Land) dijangka disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Isnin ini.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, pembukaan rasmi dijangka dilaksanakan jam 10.45 pagi itu sebagai usaha meningkatkan lagi hubungan dua hala dan ekonomi antara dua negara.

Katanya, walau hanya 1,440 orang dibenarkan di peringkat awal, pembukaan sempadan Malaysia-Singapura itu penting bagi pembangunan ekonomi di negeri ini.

"Siapa boleh nafikan Bandaraya Johor Bahru sunyi apabila aktiviti perniagaan terjejas kerana pandemik Covid-19 yang menyebabkan sempadan tutup.

"Kerajaan Pusat, kerajaan Singapura dan Johor duduk berbincang yang akhirnya mencapai kata sepakat supaya pelaksanaan VTL darat dilakukan serentak dengan VTL udara," katanya berucap pada Majlis Pelancaran Program Khas Rumah Johor di Tapak Rumah Contoh Gerbang Nusajaya, di sini, hari ini.

VTL darat dilaporkan akan dilaksanakan secara serentak dengan VTL udara yang menggunakan lapangan terbang Changi di Singapura dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Malaysia bermula Isnin ini.

Dalam pada itu, Hasni berkata, Program Khas Rumah Johor menjadi pemangkin kepada sektor hartanah untuk rancak semula bersama sektor lain seperti pembinaan, bekalan dan perkhidmatan.

"Perlunya untuk merancakkan semula ekonomi dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejajar dengan pengumuman Bajet 2022 oleh kerajaan Persekutuan untuk memberi kita hala tuju bagi tempoh setahun akan datang khususnya apabila kerajaan mengumumkan akan adanya projek mega kelak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 4:02 PM