BERNAMA

Putrajaya: Murid sekolah rendah perlu menjalani ujian saringan Covid-19 secara mingguan bermula Isnin ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Katanya, ia adalah sebahagian daripada Strategi Pengujian Covid-19 Kebangsaan (NTS) selain bertujuan untuk mengelakkan penularan kluster pendidikan di sekolah.

"Antara perkara di bawah strategi ini adalah keperluan untuk sekolah rendah, di mana muridnya adalah di bawah usia kelayakan untuk menerima vaksin, perlu menjalani ujian saringan.

"Ujian ini perlu dilaksanakan sekurang-kurangnya pada 10 peratus sampel (murid) daripada populasi murid sekolah secara bergilir-gilir, dan pada sampel yang berbeza setiap minggu," katanya dalam sidang media perkembangan Covid-19 di sini, hari ini.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Khairy berkata ujian saringan berkenaan perlu dilaksanakan kepada murid tanpa mengira sama ada mereka bergejala atau tidak.

Dokumen NTS juga boleh didapati di https://covid-19.moh.gov.my/reopeningsafely/nts sebagai rujukan.

Menurut dokumen berkenaan, saringan perlu dilakukan dengan kit ujian kendiri RTK-Ag dengan pemantauan daripada pihak sekolah.

Dalam perkembangan lain mengenai harga siling vaksin Sinovac di pasaran swasta, Khairy berkata Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), akan menetapkan harga siling bagi vaksin berkenaan dan akan diumumkan minggu hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 November 2021 @ 9:19 PM