Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Pengembara tempatan yang merancang melawat Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe tidak dibenarkan meneruskan perjalanan mereka berkuat kuasa esok.

Sekatan sementara turut dikenakan kepada semua warganegara asing yang ada sejarah perjalanan ke negara terbabit dalam tempoh 14 hari ini daripada memasuki Malaysia, juga berkuat kuasa esok.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum berkaitan laporan varian baharu Covid-19 iaitu B.1.1.529.

Menurut beliau, setakat ini, tiga negara melaporkan kes berkaitan varian baharu ini iaitu Afrika Selatan (77 kes), Botswana (empat kes) dan Hong Kong (dua kes).

"Kes pertama dilaporkan di Botswana pada 11 November lalu manakala Afrika Selatan pada 14 November dan Hong Kong pada 25 November.

"Kes yang dilaporkan di Hong Kong mempunyai sejarah melawat Afrika Selatan," katanya pada sidang media Covid-19 hari ini.

KHAIRY Jamaluddin. FOTO NSTP
KHAIRY Jamaluddin. FOTO NSTP

Khairy Jamaluddin berkata, berdasarkan laporan, varian baharu ini mempunyai 32 mutasi spike protein iaitu dua kali ganda lebih banyak daripada varian Delta.

"Sehingga kini, belum ada maklumat lanjut bagi tempoh inkubasi, gejala dan kebolehjangkitan bagi varian B.1.1.529 ini.

"KKM memandang serius kewujudan varian baharu ini dan akan mempertingkatkan survelan genomik termasuk ke atas individu yang tiba dari negara yang melaporkan varian baharu ini," katanya.

Beliau berkata, warganegara Malaysia dan pemegang pas penduduk tetap yang pulang ke Malaysia dari negara-negara terbabit dibenarkan memasuki negara.

Namun, mereka dikehendaki menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin tanpa mengira status vaksinasi serta tidak dibenarkan menjalani kuarantin di rumah.

Menurut beliau, selain itu, sampel akan diambil daripada individu yang tiba dari negara terbabit untuk survelan genomik.

"KKM akan terus menjalankan pemantauan perkembangan situasi varian baharu ini di dalam dan luar negara, termasuk pelaporan daripada pihak WHO.

"Langkah-langkah pencegahan dan kawalan serta perkembangan mengenai varian baharu B.1.1.529 ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 November 2021 @ 6:03 PM