NAZIR Mohamad (dua kiri) bersama Mohd Shahrizal (tiga kanan) ketika Pelancaran Papan Tanda Mesej Anti Dadah anjuran AADK Klang di Flat Sri Perantau. FOTO Ruwaida Md Zain
NAZIR Mohamad (dua kiri) bersama Mohd Shahrizal (tiga kanan) ketika Pelancaran Papan Tanda Mesej Anti Dadah anjuran AADK Klang di Flat Sri Perantau. FOTO Ruwaida Md Zain
Ruwaida Md Zain


Klang: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Selangor mewujudkan Bilik Gerakan Komuniti Prihatin membabitkan 13 kawasan berisiko tinggi aktiviti penagihan dadah di negeri ini.

Langkah itu adalah di bawah inisiatif Selangor Mengawal Ancaman Realiti Dadah (SMARD).

Pengarah AADK Selangor, Nazir Mohamad berkata, bilik gerakan berkenaan diwujudkan bertujuan mendekati komuniti yang memerlukan bantuan terutamanya individu yang terjebak dengan gejala itu.

Katanya, menerusi bilik gerakan berkenaan, pihaknya dapat membantu secara terus penagih dadah yang dikesan untuk diberi rawatan, pemulihan serta advokasi.

"Apabila AADK turun ke kawasan berisiko tinggi bersama masyarakat seperti ini, masyarakat lebih dekat dengan kita.

"Ini memudahkan mereka membuat aduan dan melaporkan segala permasalahan berkaitan penagihan dadah dalam komuniti mereka.

"Bilik gerakan yang dibangunkan ini akan ada pegawai pembimbing dari AADK yang turun sekurang-kurangnya dua kali seminggu, sesiapa yang ada masalah berkaitan, boleh datang mendapatkan bimbingan," katanya semasa menghadiri Program Ziarah Prihatin dan Majlis Perasmian Papan Tanda bagi Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) di Flat Sri Perantau, di sini, tadi.

Turut hadir, Ketua Penolong Pegawai Daerah (Tanah) Klang, Mohd. Shahrizal Mohd. Salleh.

Nazir berkata, usaha itu dilakukan bagi memudahkan masyarakat setempat untuk berjumpa pegawai AADK.

"Ini memudahkan mereka merujuk pegawai AADK supaya mereka tidak perlu ke pejabat AADK yang agak jauh dari sini.

"Kehadiran pegawai pembimbing juga akan dimaklumkan kepada wakil penduduk dan mereka akan memberitahu penduduk di kawasan berkenaan.

"Selain dalam kawasan Flat Sri Perantau, antara lokasi lain yang akan dibangunkan bilik gerakan secara berperingkat adalah Kampung Nahkoda, Gombak; Kampung Pandan Dalam (Ampang); Kampung Sijangkang, Kuala Langat; Flat Desa Mentari, Petaling.

Sementara itu, Mohd. Shahrizal berkata, Program Ziarah Prihatin itu diadakan berkonsepkan lawatan ke rumah Orang Kena Tahan (OKT) yang ditahan dalam Operasi SMARD pada 17 November lalu.

"Tujuan lawatan ini diadakan untuk melihat dengan lebih dekat apakah keperluan dan masalah yang dihadapi oleh keluarga berkenaan agar syor dan intervensi dapat dibuat dengan lebih menyeluruh di samping memberi bantuan juga sokongan terhadap ahli keluarga yang terkesan dengan aktiviti penyalahgunaan di dalam keluarga.

"Turut bersama dalam program ziarah ini adalah daripada Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Klang (JKM), Lembaga Zakat Selangor dan Pejabat Pendidikan Daerah Klang (PPD) dan pemimpin-pemimpin komuniti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 November 2021 @ 6:03 PM