Foto AFP
Foto AFP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Permintaan untuk menunaikan umrah masih dalam keadaan sederhana ekoran beberapa syarat yang perlu dipatuhi sebaik pulang dari Makkah.

Persatuan Pengembaraan dan Agensi Pelancongan Selangor (Saftta), Dr Fathir Badri berkata, buat masa ni bakal jemaah umrah masih ambil pendekatan berhati-hati terutamanya disebabkan keperluan kuarantin selepas pulang.

Menurutnya, syarat itu ternyata menyebabkan kesukaran kepada segelintir individu mendapatkan cuti tambahan yang panjang.

Beliau berkata, kebanyakan jemaah yang menunaikan umrah kini terdiri daripada mereka yang sepatutnya menunaikan ibadah itu pada tahun lalu.

"Pihak agensi mengambil tanggungjawab untuk menerbangkan mereka terlebih dahulu disebabkan tempahan yang ditunda sebelum ini," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, Saffta menjangkakan jemaah akan mula bertambah bermula Januari tahun depan disebabkan kemungkinan beberapa kelonggaran akan diberikan kerajaan.

Tambahnya, agensi pengendali umrah juga melaporkan pendaftaran umrah bertambah untuk pelepasan tahun depan.

Kerajaan menerusi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) menetapkan harga lantai RM6,900 kepada syarikat pengendali umrah berlesen untuk mengerjakan umrah bagi 12 hari 10 malam.

Kementerian itu dalam kenyataan memaklumkan penetapan itu dibuat selaras dengan perkembangan semasa iaitu peningkatan kos mengerjakan umrah memandangkan prosedur operasi standard (SOP) pihak Arab Saudi dan kerajaan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 November 2021 @ 5:27 PM