Mohamad Yusrizal (kiri) bersama Pemuda UMNO Alor Setar ketika meninjau harga bawang di Pasar Kampung Berjaya di sini, hari ini. Foto Noorazura Abdul Rahman
Mohamad Yusrizal (kiri) bersama Pemuda UMNO Alor Setar ketika meninjau harga bawang di Pasar Kampung Berjaya di sini, hari ini. Foto Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Kerajaan digesa mewujudkan industri makanan negara dengan segera bagi memastikan bekalan makanan tidak terjejas selain dapat mengawal kenaikan harga yang mendadak.

Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (Cake) Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, kebergantungan komoditi bahan mentah umpamanya menyebabkan rakyat kini terpaksa menanggung kos hidup yang sangat membebankan.

"Kita sudah lama cadangkan kepada kerajaan supaya kita ada industri sumber makanan kita sendiri, maknanya kita tanam bawang dan kubis serta pelbagai sayuran sendiri. Sekarang banyak sayuran yang kita terpaksa import.

"Hari ini kita juga terpaksa beli racun, baja dan dedak haiwan dari luar negara, ada negara tertentu yang monopoli bahan ini menyebabkan kenaikan harga terus berlaku.

"Kenaikan ini turut menyebabkan petani dan penternak terpaksa menanggung kos yang tinggi sekali gus kos pengeluaran mereka juga tinggi, akhirnya apabila sampai kepada pengguna harganya tidak mampu lagi dikawal," katanya selepas meninjau harga barang bersama Pemuda Umno Alor Setar di Pasar Kampung Berjaya di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pemuda Umno Alor Setar Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri.

Mengulas lanjut, Mohamad Yusrizal berkata, pihaknya juga tidak menafikan terdapat juga pemborong yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang ketika pandemik Covid-19.

Katanya, keadaan itu memerlukan pemantauan yang lebih ketat daripada pihak berkuasa agar ia tidak berlarutan.

"Berdasarkan hasil pemantauan tadi, saya lihat harga ayam juga naik daripada RM8.50 kepada RM9.50 hari ini. Kenaikan hingga 10 peratus ini juga membebankan pengguna.

"Kita jangkakan harga barang termasuk sayur-sayuran akan terus meningkat sehingga hujung tahun depan, jadi kerajaan perlu ada hala tuju dengan industri makanan kita sendiri agar rakyat tidak terus menderita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 November 2021 @ 4:09 PM