Tiga lelaki termasuk dua beranak yang terbabit dalam kejadian bunuh seorang lelaki di hadapan sebuah warung pasar pagi di Flat Ashby pagi semalam direman tujuh hari bermula hari ini.
Tiga lelaki termasuk dua beranak yang terbabit dalam kejadian bunuh seorang lelaki di hadapan sebuah warung pasar pagi di Flat Ashby pagi semalam direman tujuh hari bermula hari ini.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Tiga lelaki yang terbabit dalam kejadian bunuh seorang lelaki di hadapan sebuah warung pasar pagi di Flat Ashby, Jalan Asman Shah, Sungai Senam, di sini, semalam direman tujuh hari bermula hari ini.

Majistret Mahkamah Ipoh Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus membenarkan permohonan polis untuk menahan reman suspek yang masing-masing berusia 34, 47, dan 60 tahun itu, sehingga Khamis depan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Ia bagi membolehkan siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh.

Ketiga-tiga suspek dengan daripada mereka adalah anak-beranak berusia 34 dan 60 tahun, tiba di kompleks mahkamah sekitar 10.45 pagi tadi menaiki van serta diiringi anggota polis.

Semalam, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dilaporkan berkata, pihaknya menahan tiga individu bagi membolehkan siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 302 KK.

Ia berhubung kematian Muhammad Noor Faqih Mohamed Ariffin, 29, yang maut selepas bergelut dengan suspek dalam pergaduhan yang dikatakan berpunca daripada ketidakpuasan hati suspek apabila mendakwa pembesar suara mudah alih (mobile speaker) miliknya dicuri oleh mangsa.

Video memaparkan adegan mangsa yang dicekik leher dari bahagian belakang dalam keadaan rebah ke bumi turut ditularkan di Facebook.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 November 2021 @ 2:46 PM