Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju menyediakan dana RM200 juta sebagai pinjaman agro makanan pada kadar faedah sifar peratus kepada usahawan, pesawah dan petani sekali gus antara usaha bagi mengatasi kenaikan harga bahan makanan ketika ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kemudahan moratorium bayaran balik pinjaman selama enam bulan juga diberikan untuk pinjaman itu.

"Ini untuk kurangkan bebanan kepada usahawan, pesawah, petani iaitu di bawah Tekun dan Agrobank untuk manfaat pengusaha tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan yang terkesan.

"Kita tahu bahan makanan diimport dari luar negara, harganya bergantung kepada harga yang dijual negara luar itu.

"Tetapi kerajaan tidak akan lepas tangan begitu saja. Kita tidak akan jawab oleh kerana harga luar tinggi, maka tanggunglah sendiri, kita tidak akan kata begitu," katanya.

ANWAR mengadakan pertemuan dengan Erdogan di Ankara. FOTO Facebook.
ANWAR mengadakan pertemuan dengan Erdogan di Ankara. FOTO Facebook.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) ke-47 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, malam ini.

Hadir, Menteri Pertanian dan Industri Makanan (Mafi), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee serta timbalannya, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh serta Pengerusi Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Zamri Yaakob.

Pada majlis itu, Ismail Sabri turut menyaksikan majlis menandatangani Memorundum Persefahaman (MoU) antara Nafas dan YaPEIM, Nafas dan syarikat berstatus State Own Enterprise (SOE) dari China serta NAFAS Sialin (M) Sdn Bhd dan Southeast Edible Bird's Nest Capital Biotechnology Co Ltd.

Dalam ucapan sama, beliau turut mengumumkan, kerajaan bersetuju memberi peruntukan tambahan RM62 juta melalui Nafas bagi menampung penambahan insentif untuk racun dari RM200 seperti diumum sebelum ini dinaikkan kepada RM300 perhektar dan permusim.

"Saya sudah meminta Menteri Mafi, Menteri Kewangan (Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz), Menteri KPDNHEP (Datuk Seri Alexander Nanta Linggi) untuk duduk bincang bagaimana kita boleh bantu peladang atau petani yang sedang hadapai bebanan sebab kenaikan harga.

"Sebagai respon awal, bagi membantu pesawah yang terjejas, kerajaan sebelum ini sudah beri insentif untuk racun iaitu RM200 permusim dan perhektar untuk kurangkan beban.

"Maka untuk racun, kerajaan bersetuju menyediakan peruntukan tambahan RM62 juta melalui Nafas. Dengan itu, mereka akan dapat tambahan RM100 lagi bagi perhektar dan permusim," katanya.

Perdana Menteri berkata, beliau sudah meminta Menteri Kewangan supaya menambah peruntukan subsidi yang diberikan kepada Nafas bagi mengelak pertubuhan itu berdepan kerugian.

"Subsidi yang kita bagi dalam bajet untuk baja tidak mencukupi. Sebab saya difahamkan Nafas akan kerugian sebab harga baja meningkat RM200 juta rugi.

"Saya beritahu Menteri Kewangan bantu Nafas. Perkara ini, Menteri Kewangan akan teliti dan bincang dengan Menteri Mafi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 11:46 PM