ABDULLAH SAIDOL
ABDULLAH SAIDOL
Mohd Roji Kawi


Kuching: Calon bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12) perlu memastikan langkah keselamatan asas untuk mengelakkan penularan Covid-19 dipatuhi ketika melawat ke lokasi tertentu di kawasan ditandingi.

Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak, Datuk Abdullah Saidol berkata, langkah itu perlu berikutan berkempen secara bersemuka dijangka dibenarkan pada PRN-12.

Beliau berkata, langkah keselamatan asas itu ialah memastikan semua yang hadir wajib memakai pelitup muka, menyediakan cecair pensanitasi tangan dan tidak membenarkan terlalu ramai berkumpul.

"Difahamkan, ceramah di kawasan kampung dan rumah panjang dibenarkan dengan kehadiran penduduk di kawasan itu sahaja.

"Apabila langkah itu dilaksanakan, calon bertanding hendaklah menyediakan kit ujian kendiri Covid-19 untuk dibawa ke lokasi ceramah itu diadakan," katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Perjumpaan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di sini, hari ini.

Memetik laporan sebuah akhbar tempatan Sarawak semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tiada ceramah secara terbuka dibenarkan sepanjang tempoh berkempen.

Bagaimanapun, ceramah di kawasan kampung dan rumah panjang dibenarkan dengan kehadiran penduduk di kawasan itu sendiri dan orang luar tidak dibenarkan hadir manakala ziarah rumah ke rumah tidak dibenarkan sepanjang tempoh pilihan raya.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, susulan kebenaran berceramah itu, calon atau jentera kempen mereka harus lebih bertanggungjawab dengan tidak terlalu ghairah berkempen sehingga mengabaikan keselamatan yang boleh membahayakan penduduk di kawasan mereka lawati.

"Kita tidak mahu keghairahan berkempen akan mencetuskan kluster baharu dan tidak mahu ia menjadi kemenangan pahit jika calon terbabit menang.

"Saya selalu mengingatkan jentera saya, tidak mengapa jika kita tidak berkempen secara bersemuka di kawasan tertentu kerana yang penting kita mengutamakan keselamatan penduduk dan diri kita sendiri," katanya yang dijangka mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Semop.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 7:22 PM