KONSEP Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) bersifat inklusif, kekeluargaan dan prihatin kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira perbezaan. FOTO Aswadi Alias
KONSEP Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) bersifat inklusif, kekeluargaan dan prihatin kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira perbezaan. FOTO Aswadi Alias
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Konsep Keluarga Malaysia diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mampu menjadi pemangkin kepada keharmonian dan kestabilan kaum ketika negara dalam fasa pemulihan akibat pandemik.

Gagasan berkenaan yang menjadi platform kebersamaan dalam kalangan rakyat dilihat tepat pada masanya susulan situasi politik dalam negara yang berdepan kemelut sebelum ini.

Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Multimedia Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shafezah Abdul Wahab berkata, konsep itu ternyata bersifat inklusif, kekeluargaan dan prihatin kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira perbezaan dan ia diterima dengan baik oleh rakyat.

"Di mana-mana sekarang ini, orang mula bercakap dan menerima Keluarga Malaysia sebagai satu gagasan yang meliputi semua, tidak kira pangkat, kedudukan dan latar belakang.

"Apatah lagi rakyat rakyat di negara ini mahukan perubahan lebih-lebih lagi pada kestabilan dan kemakmuran.

"Ia mesej jelas rakyat mahu sebuah kerajaan yang stabil tanpa meneruskan polemik politik tidak stabil terus berpanjangan," katanya.

Menurutnya, dalam konteks ini, kestabilan yang dicapai menerusi kesepakatan antara kerajaan dan pembangkang baru-baru ini benar-benar membuahkan hasil.

Shafezah berkata, kestabilan itu bermakna situasi di dalam negara lebih terkawal tanpa perlu menunggu pilihan raya untuk menubuhkan kerajaan baharu sebelum tiba masanya.

Katanya, ia ditambah lagi dengan situasi jangkitan yang belum pulih sepenuhnya namun pada masa sama, ekonomi perlu diperkukuhkan segera demi kebaikan bersama.

Beliau berkata, dengan cara itu, rakyat lebih yakin kerajaan akan meneruskan bantuan khususnya kepada golongan sasar dan industri kecil dan sederhana yang terkesan.

"Konsep ini juga menjanjikan pemulihan semua sektor yang terjejas dan ia diterima semua rakyat negara setakat ini.

"Sebelum ini saya pernah sebut mengenai ancaman perpaduan kaum yang dilihat secara jelas menerusi ideologi politik.

"Selain rakyat, pemimpin politik juga perlu bersama-sama Perdana Menteri untuk mempertahankan kedaulatan Keluarga Malaysia untuk memacu negara menjadi negara maju pasca Covid-19," katanya.

Visi Keluarga Malaysia ialah memulihkan negara, mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi yang bermatlamat sebagai aspirasi jangka panjang kalis cabaran masa hadapan dalam mencapai visi itu berlandaskan Keberhasilan Kebahagiaan.

Selaras dengan situasi semasa, ia turut menggariskan hala tuju strategik iaitu rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa akan berganding bahu memulihkan negara daripada impak negatif akibat Covid-19.

Ia juga merangkumi menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia di bawah naungan Keluarga Malaysia, mengetepikan perbezaan politik untuk mencapai kestabilan, memulih semula dan merapatkan jurang ekonomi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 4:59 PM