JABATAN Agama Islam Negeri Johor.
JABATAN Agama Islam Negeri Johor.
Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Johor merekodkan 37,853 kes perceraian di negeri ini sepanjang tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Tosrin Jarvanthi berkata, daripada jumlah itu, Johor menyumbang 11.5 peratus kes perceraian di Malaysia tahun lalu.

Kata beliau, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jainj) amat mengambil berat isu yang berlaku kepada umat Islam di negeri ini terutama kes yang membabitkan keruntuhan institusi rumah tangga.

"Bagi mengatasi keruntuhan rumah tangga, Bahagian Undang-Undang Syariah Jainj dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) saban tahun menyusun dan menambah baik kaedah pelaksanaan serta modul yang disampaikan kepada peserta kursus pra perkahwinan.

"Malah perubahan modul sudah pun ditambah baik sehingga versi yang keempat sejak ia dilaksanakan.

"Bagi program keibubapaan pula, Bahagian Pembangunan Keluarga Jainj sentiasa menyusun program kekeluargaan bagi memastikan tindakan pencegahan perceraian dapat dilaksanakan dan institusi keluarga terpelihara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Belanjawan Johor 2022 pada Sidang Keempat Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor yang ke-14 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Tosrin yang juga Adun Bukit Permai berkata, Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor menyediakan dana RM300,000 bagi peruntukan khusus bantuan nafkah kepada anak mangsa perceraian.

Katanya, daripada jumlah itu, RM200,000 adalah menerusi peruntukan Kerajaan Persekutuan manakala RM100,000 lagi peruntukan daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (Mainj).

"Penerima pendahuluan dana (Pemiutang Penghakiman) itu perlu melalui prosedur khidmat nasihat perkahwinan terlebih dahulu sebelum diberikan dana berkenaan bagi meringankan beban ditanggung anak, jika perceraian berlaku.

"Sekiranya gagal khidmat nasihat atau kaunseling, pemiutang akan ditawarkan pendahuluan dana berkenaan, namun kebanyakan mereka terpaksa menolak atas alasan perlu membayar balik dana itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 4:54 PM