Rafidah (kanan) bersama arwah rakannya, Nurul Atikah (tengah) ketika pertemuan mereka bulan lalu. FOTO IHSAN RAFIDAH
Rafidah (kanan) bersama arwah rakannya, Nurul Atikah (tengah) ketika pertemuan mereka bulan lalu. FOTO IHSAN RAFIDAH
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: "Arwah Nurul Atikah sibuk mencari pelamin dan jurusolek kerana mahu bertunang bulan depan namun Tuhan lebih menyayanginya," kata Rafidah Senapi.

Rafidah, 25, adalah rakan karib kepada Nurul Atikah Rashidi, 22, yang meninggal dunia pagi tadi ketika dirawat di Hospital Sultanah Maliha (HSM) Langkawi selepas parah pada kemalangan jalan raya di Kampung Kilim, Ayer Hangat di sini, 19 November lalu.

Kemalangan jam 4.05 petang itu turut menyebabkan anggota tentera, Mohd Firdaus Nor Shaidi, 23, yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza serta Maizatul Hana Mohd Rosdan, 21, meninggal dunia.

Menurut Rafidah, arwah sebelum ini banyak kali meminta maaf kepadanya kerana tidak sempat menghadiri majlis perkahwinannya 4 November lalu.

"Kali terakhir kami bertemu ialah pada bulan lalu namun Nurul Atikah tidak menunjukkan perubahan sikap.

"Dia seorang rakan yang baik. Sebelum ini, kami kehilangan rakan baik pada Mei lalu tetapi kini giliran Nurul Atikah pergi selamanya," katanya.

Rafidah berkata, Nurul Atikah menetap di Kampung Dusun Pengapit, Gajah Putih, Sik dan bekerja di sebuah syarikat kurier di Sik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 2:53 PM