FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Mohamed Farid Noh
am@hmetro.com.my


Johor Bahru: Seramai 12,231 orang pekerja tempatan di negeri ini diberhentikan kerja sejak tahun lalu sehingga tahun ini akibat pandemik Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri Datuk Mohd Izhar Ahmad berkata, data itu direkodkan menerusi laporan pemberhentian pekerja oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Johor.

Kata beliau, menerusi data itu, 9,512 pekerja tempatan hilang pekerjaan pada 2020 manakala pada tahun ini, 2,719 lagi hilang kerja, setakat bulan ini.

"Bagi mengatasi masalah pekerja tempatan diberhentikan kerja, kerajaan negeri menerusi Belanjawan Johor 2022 memperuntukkan RM5.2 juta bagi pelaksanaan inisiatif berkaitan dengan peningkatan kemahiran seperti Program Johor 'Upskilling & Reskilling', Latihan Lepasan Siswazah Johor, Johor Skills Oil & Gas dan Pensijilan Tenaga Mahir Johor.

"Pelaksanaan inisiatif latihan semula dan meningkatkan kemahiran pekerja diberhentikan ini dijangka memberi manfaat kepada 1,550 individu atau golongan sasaran.

"Selain itu, kerajaan negeri akan meneruskan Agenda Pembangunan Modal Insan di Iskandar Malaysia dengan penubuhan Geran Pekerjaan Iskandar Malaysia (Imeg) dengan peruntukan RM4 juta," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Belanjawan Johor 2022 pada Sidang Keempat Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor yang ke-14 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Izhar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Larkin berkata, jumlah majikan di negeri ini yang direkodkan menghentikan operasi adalah 1,003 syarikat sejak tahun lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, 739 majikan direkodkan menutup operasi mereka pada 2020 manakala 264 lagi menutup operasi tahun ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri menerusi agensi Perbadanan Usahawan Negeri Johor Sdn Bhd (PUJB) sentiasa mengambil perhatian serius terhadap masalah ditanggung oleh usahawan terjejas di negeri ini.

"Kerajaan negeri bersama Bank Rakyat sudah mencapai persetujuan bagi usahasama strategik di antara kedua-dua pihak bagi pelaksanaan Skim Pembiayaan PKS Johor-Bank Rakyat yang akan memperuntukkan RM100 juta berbentuk skim pinjaman mudah khusus bagi manfaat golongan usahawan di Johor.

"Usahasama ini kini berada pada fasa akhir penyediaan memorandum persefahaman. Ia dijangka termeterai dan akan dilancar pada awal 2022," katanya.

Selain Bank Rakyat, kata beliau, kerajaan negeri melalui PUJB juga terus konsisten dan aktif mengadakan rundingan serta perbincangan dengan beberapa lagi institusi kewangan serta perbankan bagi tujuan sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 2:21 PM