FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Izad Thaqif Hassan


Sungai Petani: Seorang individu dikesan memuat naik artikel dan poster mengenai sebuah program di akaun Instagram (IG) menggunakan nama serta gambar Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat.

Bertindak dengan keadaan itu, satu laporan polis dibuat hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, siasatan mendapati pemilik akaun IG terbabit menggunakan nama 'datosrig' dan memuatnaik poster serta artikel berhubung 'Program Presiden Agro Malaysia Turun Padang Jumpa Usahawan Agro' di Sungai Petani, hari ini. Selain Ketua Polis Kedah, ada dua penama termasuk orang kenamaan dan gambar turut disalahgunakan.

"Antara atucara program yang turut disertakan bersama poster berkenaan adalah Majlis Penanaman Pokok, Majlis Pembukaan Restoran, dan Majlis Penyerahan Bantuan Bakul Makanan Agro Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

Adzli berkata, hasil semakan serta siasatan lanjut mendapati program terbabit tidak wujud dan pihaknya menafikan pembabitan Ketua Polis Kedah dalam program berkenaan.

"Kita akan memanggil individu yang terbabit dengan perbuatan ini dalam tempoh terdekat untuk merakam keterangan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya yang turut menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan sebarang program dianjurkan dan menyemak terlebih dahulu dengan pihak berkaitan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 1:39 PM