KEADAAN MPV dan motosikal yang terbabit kemalangan. FOTO Ihsan Polis
KEADAAN MPV dan motosikal yang terbabit kemalangan. FOTO Ihsan Polis
Hazira Ahmad Zaidi


Machang: Pembuat barangan perabot maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki empat sekeluarga di hadapan sebuah stesen minyak di Kilometer 3.3, Jalan Machang-Tanah Merah, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 9.20 pagi itu, mangsa, Muhammad Fakrul Radzi Yahani, 24, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di beberapa bahagian anggota badan.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Ganti Jimmy berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Suzuki Smash Revo daripada arah Machang menghala ke Tanah Merah.

"Bagaimanapun, setibanya di lokasi kejadian, mangsa dipercayai tiba-tiba keluar dari simpang sebuah stesen minyak menghala ke Machang sehingga menyebabkan berlakunya pertembungan secara berhadapan dengan Toyota Vellfire dipandu lelaki berusia 26 tahun.

"Akibat pertembungan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Machang untuk dibedah siasat," katanya ketika dihubungi.

Katanya, pemandu MPV hanya mengalami lebam di bahagian kiri muka, manakala isteri bersama ibu dan bapanya yang mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Machang untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 11:11 PM