SALIM ketika sesi perbahasan Belanjawan 2022 peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.
SALIM ketika sesi perbahasan Belanjawan 2022 peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Isu monopoli industri padi negara yang disiarkan Harian Metro menjadi antara isu dibahas di Dewan Rakyat hari ini.

Ia selepas Ahli Parlimen Jempol Datuk Salim Sharif membangkitkan perkara itu dan meminta tindakan tegas diambil Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi).

Katanya, ia satu perkembangan tidak sihat kerana ia adalah kepincangan yang berlaku sejak sekian lama.

"Jika kebanjiran pesawah asing ini tidak dibendung, warga asing pula akan monopoli industri padi negara.

"Ini adalah perkembangan tidak sihat pekerja tempatan kerana dalam beberapa tahun lagi tidak mustahil mereka akan menguasai jelapang padi," katanya sesi perbahasan Belanjawan 2022 Peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.

Muka depan akhbar ini melaporkan, sebelum ini warga asing hanya dilihat mengisi peluang pekerjaan di sektor pembinaan, perladangan, perkilangan dan pembuatan.

Namun, kini terdapat lebih 200 warga Bangladesh dan Rohingya menjadi tauke besar dengan menyewa sawah daripada pemilik untuk mengusahakannya.

Kehadiran mereka dikesan Bahagian Kawalselia Padi dan Beras Mafi di tujuh Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) di seluruh negara sejak beberapa tahun lalu.

Situasi itu mencetuskan rasa bimbang kementerian mengenai penguasaan orang luar ke atas sawah milik orang tempatan yang dikhuatiri akan memberi kesan kepada industri padi negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 10:56 PM