Mohd Afiq (kanan) berbincang bersama Presiden PPMM, Che Hassan Che Johan (kiri) mengenai isu warga asing menguasai sawah padi
Mohd Afiq (kanan) berbincang bersama Presiden PPMM, Che Hassan Che Johan (kiri) mengenai isu warga asing menguasai sawah padi
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Isu warga asing memonopoli industri yang sebelum ini dikuasai rakyat tempatan bukan hanya membabitkan sektor pertanian sahaja.

Penguasaan itu sebaliknya bakal merebak dalam industri perlombongan, pembinaan dan perkhidmatan yang berpotensi 'diambil alih'.

Pengerusi Biro Keusahawanan dan Sosioekonomi, Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) Mohd Afiq Salim berkata, pihaknya menerima aduan langsung mengenai perkara itu sejak beberapa tahun lalu.

Katanya ia mencetuskan kebimbangan banyak pihak mengenai penguasaan warga asing di dalam pelbagai sektor tanpa sekatan.

"Rata-rata mereka bimbang dengan senario ini yang dilihat semakin parah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Antara yang membimbangkan adalah pertanian dan perladangan. Faktor skim gaji, pendidikan dan latihan adalah isu utama mengapa warga asing menjadi pilihan," katanya.

Beliau mengulas laporan muka depan akhbar ini mengenai warga asing seperti Bangladesh dan Rohingya yang mula melebarkan sayap dalam penanaman padi dan menjadi tauke di beberapa tempat.

Mohd Afiq berkata, sebelum ini kerajaan memperuntukkan dana yang besar untuk latihan industri supaya pekerja tempatan mempunyai kemahiran tinggi menerusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan pelbagai agensi berkaitan.

Katanya, inisiatif itu sepatutnya menjadikan Malaysia sebuah negara ekonomi maju dan negara inklusif, dengan rekod pertumbuhan ekonomi yang kukuh.

"Isu penguasaan warga asing di dalam pertanian terutama penanaman padi tidak sepatutnya timbul kerana kerajaan membelanjakan dana yang besar untuk menjana produktiviti domestik.

"Untuk itu, PPMM mencadangkan agar kerajaan menyokong pelaburan dalam teknologi dan pendigitalan malah, penggunaannya dalam industri dipercepatkan.

"Kerjasama lebih kukuh antara industri dan ahli akademik adalah penting untuk inovasi yang lebih besar dan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang berkaitan.

"Jika gaji yang ditawarkan berbaloi, ditambah dengan persekitaran yang positif, saya yakin, pertanian akan menjadi pilihan warga tempatan terutama mereka yang berkemahiran tinggi," katanya.

Mohd Afiq berkata, PPMM bersedia mengadakan perbincangan secara terus dengan pemain industri serta pihak berautoriti bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu itu.

Beliau berharap masalah 'pengambilalihan' bidang pertanian diatasi segera, sekali gus merancakkan ekonomi rakyat tempatan dan mengangkat semua bidang pertanian.

Berita berkaitan

  • Warga asing jadi tauke padi, beras
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 6:15 PM