Siti Zailah Mohd Yusoff menjawab soalan pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
Siti Zailah Mohd Yusoff menjawab soalan pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
Rohaniza Idris

Kuala Lumpur: Pengantunan seksual atau sexual grooming kini sudah dimasukkan ke dalam Akta Kanak-Kanak sebagai satu kesalahan jenayah.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, berdasarkan akta itu pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebat.

"Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 telah digubal bertujuan untuk memberi perlindungan yang lebih baik kepada kanak-kanak, melindungi kepentingan dan kebajikan kanak-kanak, serta mengadakan pencegahan yang berkesan bagi kesalahan-kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.

"Kesalahan pengantunan kanak-kanak atau lebih dikenali sebagai child grooming telah pun dimasukkan ke dalam akta ini dengan hukuman penjara maksimum lima tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat.

"Akta ini di bawah bidang kuasa Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri," katanya menjawab soalan Maria Chin Abdullah (PH-Petaling Jaya) ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Maria bertanya kesediaan kerajaan meminda undang-undang sedia ada untuk menjadikan sexual grooming sebagai satu jenayah di Malaysia.

Menjawab soalan tambahan Steven Choong Shiau Yoon (BEBAS-Tebrau) mengenai kumpulan kanak-kanak yang terdedah dan langkah yang diambil mengatasinya, Siti Zailah berkata, kes itu membabitkan semua golongan tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.

Katanya, cabaran terbesar menangani isu berkenaan adalah penggunaan media sosial

"Justeru kita mahukan kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa. Berdasarkan satu kajian hanya 34.4 peratus daripada ibu bapa yang menggunakan aplikasi kawalan internet.

"Ini bermakna masih ramai yang kurang sedar kesan jenayah ini (sexual grooming) dan tugas ini bukan terletak di bahu kementerian saja tetapi tanggungjawab bersama semua pihak dan masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 3:58 PM