Datuk Eddin Syazlee Shith.
Datuk Eddin Syazlee Shith.
Mohd Amin Jalil


Kuala Pilah: Terlalu awal untuk menjadikan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebagai petunjuk bahawa situasi serupa boleh berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), akan datang.

Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, keputusan PRN Melaka tidak boleh dijadikan ukuran sebenar kerana banyak faktor akan mempengaruhinya kelak.

"Jika kita hendak jadikan keputusan PRN Melaka itu sebagai petunjuk bahawa situasi serupa dapat diterjemahkan pada PRU-15, ia adalah terlalu awal.

"Banyak faktor akan mempengaruhi situasi PRU-15 nanti termasuk antaranya kadar pengundi baharu yang semakin bertambah ketika ini.

"Bilangan pengundi baharu ketika ini dilihat semakin ramai dan melonjak naik dan mereka ini adalah antara faktor penentu pada PRU-15 nanti," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Merasmikan Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tanjong Ipoh Ke-42 dan Perjanjian Persefahaman (MoU) antara PPK itu dengan usahawan, di Seri Menanti Resort, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Menanti merangkap Pengerusi PPK Tanjong Ipoh, Datuk Abdul Samad Ibrahim.

Sementara itu, Eddin Syazlee yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu berkata, keputusan dalam PRN Melaka tidak akan menjejaskan fokus dan persiapan parti itu menghadapi PRU-15.

Beliau berkata, keputusan berkenaan tidak akan mematahkan semangat kepemimpinan dan ahli parti itu untuk bekerja lebih kuat lagi bagi mencari lebih banyak sokongan.

Pada PRN Melaka, Sabtu lalu, dua calon Perikatan Nasional (PN) menang dua kerusi iaitu Dr Mohd Yadzil Yaakub (Bemban) dan Dr Mohd Aleef Yusof di kerusi Sungai Udang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 November 2021 @ 3:42 PM