Presiden Parti Keadilan PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim. FOTO NADIM BOKHARI
Presiden Parti Keadilan PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim. FOTO NADIM BOKHARI
Oleh Mohamed Farid Noh
am@hmetro.com.my


Iskandar Puteri: PKR Johor menyerahkan pada pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) untuk menentukan masa depan Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim, berikutan prestasi buruk gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu lalu.

Timbalan Pengerusi PKR Johor Jimmy Puah Wee Tse berkata, perkara itu lebih sesuai diputuskan kepemimpinan tertinggi PH berbanding akar umbi yang memberikan pandangan.

"Memang semua ada pandangan masing-masing. Namun prestasi buruk PH pada PRN Melaka baru-baru ini, tidak wajar hanya diletakkan pada satu individu sahaja.

"PH harus bertanggungjawab secara kolektif atas kekalahan itu dan perlu melakukan bedah siasat bagi mencari punca. Namun, diakui strategi PH agak kekurangan berbanding parti lain.

"Pada saya, masa depan Anwar, lebih baik pucuk pimpinan PH yang tentukan," katanya.

Jimmy mengulas gesaan pelbagai pihak, termasuk pemimpin dalam parti gabungan PH, yang menuntut supaya Anwar berundur selepas penampilan suram gabungan itu dalam PRN Melaka.

Sejak kelmarin, gesaan ketua pembangkang itu berundur mula kedengaran, selepas penampilan suram PKR yang tewas kesemua 11 kerusi yang ditandingi.

Pengkritik antara lain mendakwa, keputusan Anwar mewajarkan tindakan mengambil 'katak politik' daripada Umno dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan alasan untuk mengembalikan mandat rakyat, sebagai antara punca kekalahan PRN Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 November 2021 @ 1:20 PM