Foto hiasan
Foto hiasan
Rafiqah Dahali

Kota Kinabalu: Kru kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dijangkiti Covid-19 mencetuskan satu lagi kluster baharu di Sabah, Kluster Lautan Biru Pantai.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, kluster yang diklasifikasi sebagai institusi pertahanan itu membabitkan lokasi di sini, Sandakan dan Tawau.

Menurutnya, kes indeks merupakan kru kapal dan seorang lelaki lelaki yang belayar dari TLDM Lumut, Perak pada 27 Oktober lalu di mana dalam saringan Covid-19 sebelum berlepas ke TLDM Sepanggar, kes indeks serta semua kru kapal terbabit didapati negatif.

"Pada 1 November lalu, kapal tersebut tiba di TLDM Sepanggar dan selepas menjalani operasi selama seminggu, kapal kemudiannya berangkat ke Sandakan dan Tawau sebelum kembali semula ke TLDM Sepanggar pada 18 November.

"Ketika persinggahan, kes indeks dikesan positif Covid-19 menerusi saringan bergejala di Sandakan, manakala satu kes lagi dikesan di Tawau melalui saringan kendiri dan sudah menjalani kuarantin di daerah masing-masing.

"Setibanya di TLDM Sepanggar, didapati tiga lagi kes positif hasil saringan bergejala dikesan.

"Saringan menyeluruh kemudiannya dijalankan terhadap 134 kru kapal dan menemukan 93 kes positif Covid-19 sebagai jumlah kumulatif termasuk 91 kes yang dilaporkan hari ini," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, Masidi berkata, kluster terbabit juga menjadi punca utama jumlah kes Covid-19 meningkat mendadak di sini dengan 161 kes dicatatkan pada hari ini berbanding semalam yang hanya mencatatkan 98 kes.

Masidi yang juga merupakan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah berkata, jumlah kes harian Covid-19 hari ini kekal mencatatkan kes melebihi tiga angka.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini adalah sebanyak 485 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 229,497 kes.

"Sebanyak sembilan kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu tiga kes di Tawau, dua di Kudat dan masing-masing satu kes di Ranau, Sandakan, Semporna dan Tambunan.

"Bilangan pesakit sembuh pula adalah 551 menjadikan jumlah kumulatif 218,623 orang, manakala 1,563 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 638 orang di hospital, 907 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan 18 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 8:54 PM