KEDAI perabot yang dirempuh kereta, semalam. FOTO ihsan Bomba
KEDAI perabot yang dirempuh kereta, semalam. FOTO ihsan Bomba
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Ampang Jaya: Pemandu yang merempuh kedai perabot di Jalan Lingkaran Tengah MRR2, Kampung Pasir, semalam disahkan pitam ketika memandu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, hasil ujian dilakukan mendapati pemandu itu bebas alkohol.

"Manakala mangsa yang juga pekerja kedai berusia 20-an disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Ampang.

"Siasatan awal mendapati pemandu berusia 36 tahun itu pitam menyebabkan dia hilang kawalan semasa melalui jalan terbabit sebelum terbabas dan merempuh masuk ke dalam kedai," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pemandu kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Sampel darah pemandu kereta diambil untuk dianalisis. Saksi bebas yang menyaksikan kejadian diminta untuk tampil menyalurkan maklumat berkenaan kejadian.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan pekerja kedai perabot parah dirempuh sebuah kereta.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 6.15 petang.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 10:24 AM