Mohd Amin Jalil


Seremban: Aspek kestabilan politik dan kerajaan yang terkandung dalam manifesto Barisan Nasional (BN) antara faktor penyumbang kepada kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, semalam.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, rakyat mahukan kestabilan politik bagi membolehkan negeri dan negara dapat diuruskan dengan baik dan lancar.

"Ini adalah satu keputusan yang dimahukan rakyat negeri Melaka, mereka mahukan kerajaan negeri yang stabil dan boleh membawa kepada kesejahteraan rakyat dan negeri.

"Saya bersyukur atas kemenangan BN ini dan ini satu amanah besar kepada BN supaya kerajaan baharu ini dapat diurus dan ditadbirkan dengan baik yang menjadi harapan rakyat Melaka.

"Kemenangan ini perlu diterjemahkan kepada rakyat Melaka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Agung Kebangsaan Persatuan Solidariti Nasional (PerSona) Kali Ke-6 Sesi 2020 di sini, hari ini.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO, berkata manifesto yang digariskan dalam PRN itu bukan sekadar direka tetapi ia boleh dilaksanakan dalam jangka masa pendek.

"Apabila kita letakkan akujanji itu ia bermakna boleh dibuat dan dilaksanakan dan bukannya untuk sedapkan hati yang akhirnya tidak dapat dilakukan.

"Kita (BN) sedar bahawa perkara itu tidak baik kerana dalam tempoh empat atau lima tahun lagi, kita akan berhadapan dengan rakyat Melaka semula," katanya.

Katanya, BN akan memandu arah untuk memastikan apa yang terkandung dalam manifesto dilaksanakan dengan baik dan berjaya.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, langkah BN menurunkan 86 peratus muka baharu dilihat berjaya dan rakyat Melaka menerima dengan baik.

"Kita sedar bahawa yang penting jangan buat rakyat marah dengan meletakkan orang yang rakyat tak suka," katanya.

MOHAMAD Hasan berucap merasmikan Persidangan Agung Persatuan Solidariti Nasional (PerSona) di Seremban hari ini. Foto Mohd Amin Jalil.
MOHAMAD Hasan berucap merasmikan Persidangan Agung Persatuan Solidariti Nasional (PerSona) di Seremban hari ini. Foto Mohd Amin Jalil.

Sementara itu, beliau berkata Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) perlu dipertimbang untuk diadakan dalam masa terdekat mengambil kira sentimen rakyat ketika ini.

Menurutnya, pihaknya telah menyuarakan perkara itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam sebaik sahaja BN memenangi PRN Melaka.

"Saya cakap dengan Perdana Menteri semalam, kita perlu pertimbangkan untuk segerakan pilihan raya umum. Suka atau tidak kita tunggu sampai bulan Julai nanti sebab perjanjian (persefahaman kerajaan dan pembangkang) sampai bulan Julai.

"Ini pun tidak tahulah kerana banyak yang kalah teruk di Melaka, tidak tahulah kalau mereka akan 'pull the plug' (tarik diri), kita tidak tahu. Dalam politik apa juga boleh jadi, dinamiknya berubah setiap hari dan tidak statik, terpulang kepada BN dan UMNO untuk buat ulang kaji," katanya.

Beliau berkata, PRU-15 dalam waktu terdekat penting supaya mandat baharu dapat diberikan semula kepada rakyat.

"Bukan saya mahu beri tekanan untuk PRU-15 diadakan sebelum akhir tahun ini, tapi kalau boleh apa salahnya, jika dibandingkan kita perlu tunggu sehingga 2023.

"Dapatan mandat baharu, orang faham selepas pandemik ini memang susah untuk mentadbir negara, dapatkan mandat baharu semula, dapat majoriti yang baik, kemudian semua kena bersatu padu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 5:44 PM