GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Oleh Abnor Hamizam Abd Manap
am@hmetro.com.my


Jempol: Seramai 61,291 penduduk Negeri Sembilan sudah menerima suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 setakat ini.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, biarpun tidak diwajibkan namun penduduk digalakkan mengambil dos penggalak berkenaan.

Kata beliau, ia terbuka kepada semua, asalkan cukup umur dan cukup tempoh selepas lengkap dua dos yang diwajibkan sebelum ini.

"Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), ada dalam kalangan mereka sudah menerima suntikan penggalak," katanya pada sidang media selepas majlis Penyerahan Hak Milik Kampung Serampang Indah di Dewan Pejabat Daerah dan Tanah Jempol hari ini.

Pada perkembangan lain, Aminuddin berkata, semua pengerusi dan setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) selain ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri tidak terkecuali berdepan tindakan jika enggan mengambil vaksin.

Kata beliau, peraturan itu sama seperti mana yang dikenakan ke atas penjawat awam yang enggan menerima vaksin.

"Bagaimanapun, setakat ini kita belum menerima laporan golongan berkenaan enggan divaksin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 November 2021 @ 3:04 PM