GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


Kuching: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memberi jaminan keselamatan pengundi menjadi keutamaan pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) akan datang.

Pengarahnya, Datuk Khirudin Drahman berkata, untuk itu kerja-kerja sanitasi akan dijalankan setiap dua jam di setiap pusat mengundi pada hari pengundian.

Beliau berkata, semua ketua balai sudah diarah supaya bersiap sedia untuk melaksanakan sanitasi di kawasan tumpuan pada PRN-12 termasuk lokasi penamaan calon.

"JBPM Sarawak kini sudah bersedia dengan merangka beberapa langkah perlu dengan fokus kepada lokasi yang akan menjadi tumpuan bagi menjamin keselamatan orang ramai sepanjang proses pilihan raya nanti.

"Langkah keselamatan itu perlu dilaksanakan dan prosedur operasi standard (SOP) perlu dipatuhi berikutan penularan wabak Covid-19 yang masih belum reda," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung persediaan JBPM Sarawak untuk menghadapi PRN-12 di Ibu Pejabat JBPM Sarawak di sini, hari ini.

Khirudin berkata, bagi memastikan kelancaran penugasan sepanjang PRN-12, JBPM Sarawak dibahagikan kepada tujuh zon membabitkan 82 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Zon Kuching merangkumi 14 DUN, Samarahan (16), Sri Aman (10), Sibu (26), Bintulu (4), Miri (8) dan Limbang (4).

Menurutnya lagi, pihaknya turut mendapatkan khidmat Pasukan Bomba Sukarela serta Pasukan Bomba Komuniti bagi membantu dalam tugas sanitasi.

Sementara itu, beliau berkata semua pegawai dan anggota JBPM dilarang untuk bertugas sebagai petugas pilihan raya pada PRN-12.

"Kami sebenarnya sudah menerima tawaran untuk anggota dilantik sebagai petugas (dalam proses pengundian) namun tawaran itu ditolak dan dibatalkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 5:25 PM