TAMBAK Johor
TAMBAK Johor
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Pekerja Malaysia di Singapura berharap laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) darat antara Malaysia dan Singapura yang dilaporkan akan dilaksanakan serentak dengan VTL udara pada 29 November ini, menjadi kenyataan selepas hampir 20 bulan terperangkap di republik itu.

Namun, mereka bimbang untuk terlalu berharap berikutan masih menunggu kenyataan rasmi kerajaan Singapura, selain prosedur operasi standard (SOP) yang bakal dilaksanakan untuk VTL darat antara Malaysia-Singapura kelak.

Pekerja Malaysia di Singapura, Yan Sofian Mustafa, 35, yang bekerja sebagai juruteknik di republik itu berkata, kebanyakan pekerja Malaysia sememangnya tidak sabar untuk pulang ke kampung halaman bertemu keluarga selepas lama terperangkap di negara berkenaan.

Namun katanya, kebanyakan rakan termasuk dirinya bimbang jika kenyataan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad itu semalam, mendapat reaksi berbeza kerajaan Singapura menyebabkan harapan mereka hampa.

"Sebelum ini sudah beberapa kali kenyataan bernada sama dikeluarkan Hasni, namun kerajaan Singapura membalas republik itu belum bersedia.

"Ini kerana jumlah pekerja Malaysia yang terperangkap di sini, terlalu ramai yang dianggarkan antara 100,000 hingga 150,000, sekali gus menyukarkan kawalan dan mungkin menyebabkan risiko jangkitan yang tinggi.

"Apatah lagi kedua-dua negara masih bergelut mengawal penularan jangkitan, menyebabkan ramai pekerja Malaysia di sini, tidak berani untuk terlalu berharap kerana kami akhirnya akan jadi lebih kecewa jika ia tidak menjadi kenyataan.

"Bagaimanapun, jika benar sempadan darat Malaysia-Singapura akhirnya dibenarkan dibuka pada 29 November nanti, pasti hampir semua mereka ingin pulang bertemu keluarga apatah lagi kami semua sudah lengkap divaksin," katanya ketika dihubungi.

Semalam, Hasni dilaporkan mengumumkan VTL darat antara Malaysia dan Singapura akan dilaksanakan serentak dengan VTL udara pada 29 November ini.

Hasni dilaporkan berkata, ia hasil perbincangan yang memutuskan perjalanan darat hanya untuk pemegang pas jangka panjang.

Sebelum ini, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, dilaporkan berkata, Malaysia dan Singapura akhirnya dapat memulakan kembali perjalanan rentas sempadan melalui udara menggunakan VTL mulai 29 November ini.

Sementara itu, pekerja Malaysia di Singapura, Shahruddin Haeal Helmy Mohd Noh, 34, yang lebih dikenali dengan nama Eddie Dieana yang aktif dalam aktiviti kemasyarakatan di republik itu berkata, syarat VTL darat untuk pemegang pas jangka panjang itu membabitkan jumlah yang besar termasuk pekerja Malaysia di Singapura dan pelajar yang memegang pas jenis itu.

Katanya, semua pekerja Malaysia di Singapura berharap supaya VTL darat dapat dilaksanakan berikutan mereka tidak berkemampuan menggunakan skim VTL udara yang memerlukan kos lebih tinggi.

Namun, katanya, mereka masih menunggu pengumuman rasmi kerajaan Singapura termasuk SOP yang mahu dilaksanakan menerusi skim VTL darat ini.

Beliau berkata, kebanyakan pekerja berharap supaya dapat berulang alik seperti sebelum Covid-19 berbanding perlu menetap di Singapura.

"Namun kerajaan republik ini pernah menyatakan agak sukar melaksanakan perkara itu berikutan jumlah pekerja Malaysia yang ramai.

"Jika itu kebimbangan utama untuk membenarkan VTL darat, saya mencadangkan supaya mengehadkan jumlah pekerja yang boleh menggunakan skim itu.

"Contohnya, mungkin benarkan hanya 3,000 pekerja sehari mengikuti skim itu yang dibahagikan kepada beberapa waktu tertentu. Jadi jumlah pekerja dapat dihadkan mungkin 300 bagi setiap jam supaya SOP dapat dipatuhi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 4:41 PM