ORANG ramai menerima suntikan vaksin dos penggalak (Comirnaty Pfizer). FOTO Azhar Ramli.
ORANG ramai menerima suntikan vaksin dos penggalak (Comirnaty Pfizer). FOTO Azhar Ramli.
Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Pulau Pinang merekodkan antara lima negeri terendah mendapatkan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Norlela Ariffin.

Norlela berkata, mengikut data, negeri itu mempunyai lebih 500,000 individu yang layak bagi mendapatkan suntikan dos penggalak.

"Bagaimanapun, hanya 32,000 individu sahaja yang menerima suntikan pelalian berkenaan setakat ini.

"Mengikut carta, Pulau Pinang masih lima yang terendah di antara negeri lain apabila setakat semalam merekodkan 2,589 suntikan harian dos penggalak dengan jumlah kumulatif diberikan setakat ini hanya 32,332 suntikan," katanya di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Norlela berkata, Pulau Pinang juga akan memulakan pendaftaran untuk mereka yang ingin disenaraikan dalam janji temu mendapatkan dos penggalak dengan lebih awal.

"Sehingga kini, kita mempunyai 74 klinik swasta dan lapan hospital swasta terbabit bagi pemberian vaksin dos penggalak ini.

"Untuk bahagian Pulau, ada tambahan pusat pemberian vaksin (PPV) dos penggalak di Sunshine Square yang boleh memberi pelalian dengan kapasiti 1,500 dos sehari," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru warga Pulau Pinang yang layak dapat mengambil suntikan dos penggalak untuk perlindungan tambahan sebagai ikhtiar supaya tidak dijangkiti Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 12:36 PM