WANITA cedera dipukul penjawat awam selepas tidak berpuas hati gagal mendapat calon jodoh dalam kejadian di Jalan 2 Chan Saw Lin, kelmarin. FOTO Ihsan PDRM
WANITA cedera dipukul penjawat awam selepas tidak berpuas hati gagal mendapat calon jodoh dalam kejadian di Jalan 2 Chan Saw Lin, kelmarin. FOTO Ihsan PDRM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Berang kerana gagal mencari calon jodoh di sebuah laman web, seorang penjawat awam bertindak memukul seorang wanita berusia 34 tahun dalam kejadian di Jalan 2 Chan Sow Lin, di sini, kelmarin

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila suspek yang berusia 35 tahun pergi ke pejabat wanita yang juga pegawai khidmat pelanggan syarikat penyedia platform mencari jodoh itu sebelum berlaku perselisihan faham.

"Siasatan mendapati berlaku perselisihan faham antara suspek dan wanita berkenaan kerana dia sudah membayar RM 2,500 kepada wanita berkenaan untuk mencari calon jodoh di laman web namun tiada calon jodoh ditemui dalam masa enam bulan.

"Suspek menyalahkan wanita berkenaan sebelum membawa mangsa ke dalam lif dan bertindak menyerangnya di situ," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhammad Idzam berkata, mangsa mengalami kecederaan dan pendarahan di kepala kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).

"Polis sudah mengenalpasti lelaki yang terbabit dalam kejadian itu dan akan memanggilnya bagi memberi keterangan berhubung kejadian.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu mencederakan orang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 5:06 PM