DATUK Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika menjawab soalan pada Sidang DUN Kedah. FOTO ihsan Pejabat Menteri Besar
DATUK Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika menjawab soalan pada Sidang DUN Kedah. FOTO ihsan Pejabat Menteri Besar
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Kedah akan memerangi kegiatan kartel dikuasai ahli perniagaan 'besar' yang dikesan membolot hampir kesemua projek di bawah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kegiatan itu perlu dibanteras seiring dengan suasana ekonomi semasa yang sudah berubah.

"Saya hendak berterus terang, di GLC nampak ada yang jadi kartel. Sekiranya 10 sebut harga masuk, sembilan dia (kartel) yang dapat.

"Ini bukan berlaku di Kedah sahaja, di Persekutuan pun ada berlaku. Di semua tempat, sudah ada kartel yang begitu mencengkam, di agensi atau tempat di mana duit dijana," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Zamri Yusuf (PKR-Suka Menanti) yang bertanya sama ada terdapat GLC yang melantik konsultan tertentu menggunakan dana milik negeri.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, pihaknya sedang meneliti perkara itu dan mencari langkah dan kaedah sesuai untuk membanteras kartel yang dikuasai ahli perniagaan 'besar'.

Katanya, menjadi dasar kerajaan sejak dahulu apabila GLC ditubuhkan oleh kerajaan adalah memberi projek bagi membantu kontraktor kecil di bawah konsep payung.

"(Kegiatan) Ini berlaku sejak zaman Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Timbalan Perdana Menteri lagi. Konsep itu berterusan tetapi seiring dengan pola ekonomi sekarang, saya fikir perkara seperti ini perlu diberi pertimbangan semula.

"Kalau GLC tidak mampu melaksanakan konsep payung membangunkan kontraktor kecil yang kita hasratkan, saya kira elok setakat itu sahajalah," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Hanif Ghazali (Pas-Tanjung Dawai) mengenai status pengurusan tertinggi GLC yang menerima elaun mengatasi elaun Menteri Besar, walaupun syarikat mencatat kerugian, Muhammad Sanusi menjelaskan individu terbabit sudah meletak jawatan pada hari pertama beliau memimpin kerajaan negeri.

"Setakat yang saya tahu, (pengurusan) GLC yang macam itu dia berhenti (meletak jawatan) sendiri. Sudah tidak ada pada hari pertama saya masuk, dia sudah letak jawatan.

"Ada GLC kita yang setelah saya ambil alih kerajaan, kita tukar pengurusan tertinggi telah mula mencatatkan keuntungan dan mula membayar hutang lama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 1:33 PM