LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini.
LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Gombak: Ibu saudara kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang maut terjatuh dari tingkat 16 di sebuah kondominium di Selayang di sini, semalam direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioneer Zainal Mohamed Mohamed berkata, suspek berusia 36 tahun yang juga pengasuh kepada kanak-kanak malang itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang kira-kira jam 9.30 pagi hari ini.

"Permohonan reman ke atas suspek dilakukan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk membantu melengkapkan kertas siasatan kes.

"Majistret membenarkan tahanan suspek selama tujuh hari bermula 18 hingga 24 November ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 31 (1) (5b) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu dengan cuai menyebabkan kematian kepada kanak-kanak," katanya.

Terdahulu, polis menahan wanita berusia 36 tahun untuk membantu siasatan.

Siasatan awal mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan dengan dadah.

Semalam, kejadian tragis itu berlaku pada kira-kira 10.30 pagi apabila ibu saudaranya sedar mengenai kehilangan anak saudaranya itu, selepas didapati tiada di dalam biliknya.

Dalam kejadian itu, ibu mangsa yang juga seorang ibu tunggal dikatakan tiada di rumah kerana keluar atas satu urusan dan mangsa ditinggalkan bersama adik lelaki yang berusia empat tahun bersama ibu saudara.

Berita berkaitan

Polis tahan ibu saudara budak maut terjatuh di Selayang

Mangsa dipercayai panjat katil tepi tingkap sebelum terjatuh

'Budak lelaki maut terjatuh tingkat 16 kondominium'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 12:50 PM