HASNI ketika membentangkan Belanjawan Johor 2022. FOTO BERNAMA
HASNI ketika membentangkan Belanjawan Johor 2022. FOTO BERNAMA
Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Belanjawan 2022 Johor menyaksikan peningkatan defisit sebanyak 38.33 juta menjadikan jumlahnya RM286.47 juta, tahun ini.

Ia adalah kali kedua Belanjawan negeri itu merekodkan defisit, apabila tahun lalu, Johor turut membentangkan Belanjawan 2021 Johor yang mengalami defisit RM248.14 juta, selepas ia merekodkan belanjawan lebihan 10 tahun berturut-turut.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, unjuran hasil negeri adalah berjumlah RM1.671 bilion manakala unjuran perbelanjaan pula berjumlah RM1.958 bilion, pada tahun hadapan.

Hasni ketika membentangkan belanjawan bertemakan 'Memperhebat Kesejahteraan Johor' berkata, tema Belanjawan Johor 2022 itu dipilih sejajar dengan hasrat kerajaan Johor untuk memastikan kelangsungan hidup rakyat negeri ink yang terjejas berikutan pandemik Covid-19.

"Belanjawan ini menunjukkan usaha kerajaan negeri yang giat berusaha untuk memberikan suntikan dan lonjakan baharu kepada pertumbuhan ekonomi dan sosial yang mapan dan berdaya tahan.

"Segala pertimbangan bagi Belanjawan Johor 2022 dipandu oleh dua asas utama iaitu pertama, mendekati dan meringankan beban rakyat yang terjejas akibat Covid-19 dan keduanya, mempergiatkan usaha awalan dalam memulihkan sektor ekonomi negeri secara menyeluruh.

"Bagi Belanjawan 2022 , kerajaan Johor memperuntukkan perbelanjaan mengurus sebanyak RM1.087 bilion manakala RM870 juta pula diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan.

"Ia bakal digunakan bagi melaksana empat indikator dan 12 agenda utama dalam belanjawan berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Johor 2022, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Benut berkata, anggaran hasil dan defisit itu tertakluk kepada tahap ketidak pastian yang tinggi dipengaruhi beberapa faktor utama.

Katanya, antaranya termasuk kemunculan varian Covid-19 baharu yang tinggi, impak sosial dan pembukaan sempadan antarabangsa.

"Bagi prestasi pelaksanaan Belanjawan Johor 2021 pula, sebanyak 141 inisiatif dengan peruntukan keseluruhan RM850 juta telah mencapai 85.1 peratus pelaksanaan setakat suku ketiga 2021.

"Selepas Johor mengalami penguncupan 4.6 peratus pada 2020, ekonomi Johor diunjurkan berkembang sekitar 3.5 peratus sehingga 4.1 peratus pada tahun depan.

"Ekonomi Johor dijangka terus mencatatkan pertumbuhan pada tahap pra-krisis pada separuh tahun hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 12:33 PM