Mohd Nasaruddin Parzi


Melaka: Kerajaan menyerahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membuat pertimbangan bagi melonggarkan beberapa prosedur operasi standard (SOP) ketika hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Sabtu ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengakui SOP yang dilaksanakan suruhanjaya itu sepanjang tempoh berkempen pilihan raya itu agak ketat dan sedikit menyukarkan pergerakan jentera parti untuk berkempen.

"Kita serahkan kepada SPR untuk tentukan (kelonggaran boleh diberikan). Sebagai jentera, kita akan meyakinkan pengundi yang setia kepada kita untuk berani dan yakin menunaikan tanggungjawab mengundi nanti," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau ditanya sama ada keperluan SPR untuk melonggarkan SOP pada hari mengundi, khususnya membabitkan petugas jentera parti yang akan membantu membawa pengundi ke pusat pengundian dalam usaha meningkatkan peratusan keluar mengundi kelak.

Hishamuddin turut memuji perjalanan undi awal semalam, sekali gus memberi jaminan proses mengundi Sabtu ini boleh berjalan dengan selamat dan lancar.

"Saya bangga proses pengundian awal semalam yang berjalan lancar dengan pematuhan SOP seperti ditetapkan SPR. Ia berada di tahap baik dan saya berterima kasih kepada warga ATM (Angkatan Tentera Malaysia) kerana cukup berdisiplin.

"Saya harap kita akan melihat disiplin dan pematuhan SOP sama oleh pengundi yang akan keluar mengundi pada Sabtu ini," katanya.

SPR semalam merekodkan jumlah 91.3 peratus keluar mengundi bagi undi awal di 28 pusat pengundian awal membabitkan tentera dan pasangan serta veteran dan polis.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Sembrong optimis calon Barisan Nasional (BN) boleh menang di majoriti kerusi yang dipertandingkan pada PRN kali ini.

"Kita lihat jentera kita (BN) dalam menyesuaikan diri dengan SOP yang agak ketat dan ini satu kelebihan kepada parti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 5:41 PM