LIM Guan Eng hadir bagi mendengar keputusan rayuannya untuk memindahkan perbicaraan rasuah terowong dasar laut daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi di Mahkamah Rayuan Putrajaya. FOTO Mohd fadli Hamzah
LIM Guan Eng hadir bagi mendengar keputusan rayuannya untuk memindahkan perbicaraan rasuah terowong dasar laut daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi di Mahkamah Rayuan Putrajaya. FOTO Mohd fadli Hamzah
BERNAMA

Putrajaya: Prosiding perbicaraan kes rasuah Lim Guan Eng membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang kekal di Mahkamah Sesyen.

Ini berikutan keputusan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk Nor Bee Ariffin, hari ini sebulat suara menolak rayuan bekas ketua menteri Pulau Pinang itu untuk memindahkan perbicaraan kes rasuahnya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Hashim Hamzah.

Che Mohd Ruzima yang menyampaikan keputusan mahkamah, berkata pendekatan perayu (Lim) menggunakan Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah khusus untuk kesnya dibicarakan di Mahkamah Tinggi sebagai landasan untuk membawa rayuan kesnya ke Mahkamah Persekutuan tidak wajar dibenarkan.

Beliau berkata, tidak ada kesilapan yang dilakukan oleh hakim Mahkamah Tinggi apabila memutuskan Lim gagal memenuhi kehendak yang diperlukan mengikut Seksyen 417 (1) (b) dan Seksyen 417 (1) (e) Kanun Tatacara Jenayah.

Menurutnya, kedua-dua persoalan undang-undang yang dibangkitkan oleh Lim bukan tergolong dalam persoalan undang-undang yang luar biasa atau tidak pernah diputuskan oleh mana-mana mahkamah sebelum ini.

Katanya, oleh itu rayuan Lim ditolak dan keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan.

Lim mengemukakan rayuan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin yang menolak permohonannya untuk memindahkan kesnya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Bagi kes yang bermula di Mahkamah Sesyen, rayuan akan berakhir di Mahkamah Rayuan, manakala kes yang bermula di Mahkamah Tinggi akan berakhir di Mahkamah Persekutuan.

Lim, yang juga Ahli Parlimen Bagan, berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 60, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta dengan mengambil tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang antara Januari 2011 dan Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini, antara jam 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Lim juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

Setakat ini, 11 saksi pendakwaan sudah memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu yang bermula pada 13 Julai lalu. Perbicaraan dijadualkan bersambung pada 29 November ini di hadapan Hakim Azura Alwi.

Sepasukan peguam diketuai Gobind Singh Deo mewakili Lim, manakala Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin bagi pihak pendakwaan.

Ketika ditemui pemberita selepas keputusan mahkamah, Gobind memberitahu pemberita bahawa beliau akan mendapatkan arahan daripada anak guamnya sama ada untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada hari ini ke Mahkamah Persekutuan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 November 2021 @ 12:48 PM