Ketua Polis Perlis, Surina Saad meninjau pameran serta menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil bank dan syarikat swasta di Perlis. FOTO AIZAT SHARIF
Ketua Polis Perlis, Surina Saad meninjau pameran serta menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil bank dan syarikat swasta di Perlis. FOTO AIZAT SHARIF
Aizat Sharif


Kangar: Terdapat peningkatan kes jenayah komersil di Perlis terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula tahun lalu.

Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata, sebanyak 328 kes jenayah itu direkodkan pada Januari hingga Oktober lalu dengan kerugian RM5.3 juta, berbanding 315 kes bagi tempoh sama tahun lalu membabitkan kerugian RM4.3 juta.

"Kejadian banyak berlaku ketika PKP di mana semua ahli keluarga hanya berada di rumah sahaja dan sindiket penipuan ini merangka serta mempelbagaikan taktik mereka untuk mengaut wang daripada mangsa," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program High Profile Policing Kempen Pencegahan Jenayah Komersil (Jenayah Dalam Talian) 2021 di pekarangan sebuah pasar raya, di sini hari ini.

Surina berkata, tiada golongan tertentu yang disasar sindiket, sebaliknya mangsa dipilih tanpa batasan usia.

"Jika dahulu kita lihat warga emas atau bekas penjawat awam berpencen senang dijadikan sasaran tetapi sekarang semua golongan peringkat usia juga terdedah.

"Sebagai contoh, ada sindiket yang menyamar sebagai anggota polis, kakitangan bank atau mahkamah dan menggunakan taktik dengan meyakinkan mangsa untuk segera mengikut arahan mereka dalam memberikan data peribadi," katanya.

Menurutnya, mangsa yang mempunyai kes saman atau pinjaman bank mudah dipengaruhi dan cepat takut, maka akan menurut arahan tanpa memikirkan kesan lanjut bakal dialami.

"Apabila berlaku situasi seumpama ini, jangan panik sebaliknya cuba dapatkan butiran pemanggil itu pula atau putuskan sahaja talian sebelum buat semakan semula dengan bank atau pihak polis.

"Apa pun segala urusan haruslah dilakukan secara bersemuka sama ada urusan dengan bank atau dengan pihak polis," katanya.

Terdahulu, Surina sempat meninjau pameran pencegahan jenayah oleh pelbagai jabatan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis dan pihak bank yang terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 November 2021 @ 7:18 PM