FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kelekaan ibu bapa dengan membawa anak yang masih kecil dan tidak divaksinasi 'bersesak' di tempat awam boleh menyebabkan berlaku peningkatan kes Covid-19 dalam kalangan mereka yang belum divaksin.

Pakar Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Rosliza Abdul Manaf berkata, ketika ini kelonggaran bersasar yang diberikan kepada mereka yang sudah mendapat vaksinasi lengkap menyebabkan orang ramai mula leka dan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

"Kita dapat lihat sebaik kelonggaran diberikan, ibu bapa yang sudah divaksinasi membawa anak kecil dan berusia bawah 12 tahun bersesak di tempat ramai orang.

"Inilah yang membimbangkan kita, kanak-kanak berusia bawah 12 tahun masih belum divaksinasi dan boleh mengundang lonjakan kes dalam kalangan mereka," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, jika mengambil iktibar apa yang berlaku di Eropah ketika ini yang berdepan dengan peningkatan kes Covid-19 disebabkan jangkitan menular kepada mereka yang belum divaksinasi.

"Kita di Malaysia pula sibuk fokus kepada antivaksin yang memang jelas menolak vaksin sehingga kita lupa anak-anak kecil bawah 12 tahun belum divaksin, ada risiko berlaku lonjakan kes dalam kalangan mereka.

"Nasihat saya, ibu bapa perlu mengelak membawa anak kecil bersesak di tempat awam, ibu bapa yang sudah divaksin jika terkena jangkitan Covid-19 mungkin tidak teruk, tetapi bagaimana pula keadaan dengan anak mereka," katanya.

Dr Rosliza berkata, apa yang dilakukan kerajaan ketika ini sudah cukup dalam menangani Covid-19 walaupun nilai kebolehjangkitan (RT) meningkat sejak kebelakangan ini.

"Namun, penekanan kepada pelaksanaan dan penguatkuasaan masih longgar terutama kelonggaran diberikan kepada yang sudah divaksin sepenuhnya.

"Kita lihat, tempat makan atau pusat beli-belah sudah tidak memeriksa sijil vaksinasi dan memberikan kebenaran siapa saja boleh memasuki premis mereka," katanya.

Katanya, dia berharap pihak berkuasa mengetatkan penguatkuasaaan terutama di kawasan RT yang melonjak naik ketika ini seperti Putrajaya.

Ditanya adakah kaedah 'mengurung' rakyat perlu dilaksanakan sekiranya RT melonjak naik, Dr Rosliza berkata, kaedah itu tidak lagi sesuai berikutan kadar vaksinasi negara sudah mencapai sasaran imuniti kelompok.

"Kadar vaksinasi kita sudah meningkat, tidak perlu lagi kaedah mengurung tetapi lakukan pemeriksaan berkala supaya orang ramai patuh SOP dan tidak leka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 November 2021 @ 3:37 PM