Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Kerajaan Terengganu memperuntukkan RM1.657 billion untuk perbelanjaan mengurus bagi Belanjawan Terengganu 2022 berbanding RM1.375 bilion pada tahun ini.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, belanjawan yang bertemakan 'Merakyatkan Sejahtera Untuk Semua' itu di dokong lima teras utama dan diperkukuhkan dengan 147 inisiatif di bawah 22 objektif.

Beliau berkata, lima teras utama itu adalah memperkuatkan daya tahan isi rumah, memperkukuhkan kesejahteraan sosial masyarakat, memperbaik ketersediaan kemudahan awam rakyat, memberdaya pertumbuhan ekonomi negeri dan memperindah persekitaran dan melindungi alam.

"Kerajaan negeri menganggarkan hasil berjumlah RM1.507 bilion iaitu hasil cukai sebanyak RM61.02 juta, hasil bukan cukai sebanyak RM157.49 juta dan terimaan bukan hasil termasuk royalti petroleum sebanyak RM1.28 bilion," katanya ketika membentangkan Belanjawan Terengganu 2022 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata, di bawah perbelanjaan mengurus, sebanyak RM92.99 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan tanggungan dan RM1.56 bilion bagi perbelanjaan bekalan.

Katanya, perbelanjaan bekalan meliputi sebanyak RM264.84 juta untuk emolumen, RM244.47 juta untuk perkhidmatan dan bekalan, RM22.14 juta untuk aset, RM1.032 billion untuk pemberian dan kenaan bayaran tetap dan RM1 juta untuk lain-lain perbelanjaan.

"Bagi pemberian dan kenaan bayaran tetap, sejumlah RM400 juta dicarum ke Kumpulan Wang Pembangunan, RM230 juta bagi pemberian kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), badan berkanun dan pelbagai agensi, RM664.71 juta (pemberian kepada jabatan-jabatan kerajaan) dan RM270 juta (pelbagai perkhidmatan di bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan," katanya.

Ahmad Samsuri berkata, Belanjawan 2022 juga memperuntukkan sebanyak RM40 juta untuk perbelanjaan bekalan air manakala sebanyak RM600 juta untuk perbelanjaan pembangunan.

"Di bawah perbelanjaan pembangunan, sebanyak RM436.92 juta diperuntukkan untuk sektor sosial merangkumi pendidikan, infrastruktur dan kemudahan awam, pembangunan bandar dan luar bandar serta sukan dan perumahan.

"Sebanyak RM137.28 juta pula diperuntukkan untuk sektor pentadbiran merangkumi teknologi maklumat, pentadbiran am, projek khas dan projek penting luar jangka serta RM25.8 juta untuk sektor ekonomi merangkumi pertanian, pelancongan dan industri termasuk industri mikro, kecil dan sederhana," katanya.

Menurut Ahmad Samsuri, dalam proses penyediaan Belanjawan 2022 ini, selain mendapatkan input menerusi sesi konsultasi peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, maklum balas daripada jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan serta libat urus dengan pakar-pakar daripada pelbagai bidang, kerajaan negeri sentiasa prihatin dengan keperluan dan permintaan rakyat.

"Walaupun tidak dapat meneruskan program jelajah di semua daerah secara bersemuka, namun suara rakyat tetap didengar kerajaan negeri melalui cadangan dan aduan daripada rakyat yang diterima melalui portal e-Bajet 2022.

"Melalui portal itu, kerajaan negeri dapat merumuskan tujuh isu utama iaitu bekalan dan pemilikan rumah, pengurusan bantuan kerajaan, perkhidmatan bekalan air, penyediaan peluang pekerjaan, kemudahan pengangkutan dan perhubungan, pembangunan tanah dan keseimbangan pembangunan wilayah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 November 2021 @ 3:27 PM
Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menunjukkan belanjawan 2022 pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat, Persidangan Dewan Undangan Negeri ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini.  FOTO GHAZALI KORI
Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menunjukkan belanjawan 2022 pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat, Persidangan Dewan Undangan Negeri ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini. FOTO GHAZALI KORI