ISMAIL Sabri Yaakob (dua, kanan) berbual bersama Calon BN bagi Dun Rim Datuk Khaidirah Abu Zahar (dua, kiri). FOTO Bernama
ISMAIL Sabri Yaakob (dua, kanan) berbual bersama Calon BN bagi Dun Rim Datuk Khaidirah Abu Zahar (dua, kiri). FOTO Bernama
Ahmad Suhael Adnan


Melaka: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengambil kesempatan melawat dan meninjau beberapa bilik gerakan jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) bagi menemui calon daripada parti itu yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Lawatan bermula seawal 8.30 pagi itu menyaksikan Perdana Menteri yang berbaju biru gelap dengan logo Parlimen dan jata negara, singgah ke beberapa bilik gerakan dan kedai makan di lima kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) di Melaka.

Beliau turut mengambil kesempatan beramah mesra dengan beberapa penduduk yang ditemui, selain menyantuni golongan yang memerlukan.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno memulakan lawatan dengan bersarapan di gerai Coconut Shake Alai di Dun Telok Mas, sebelum bergerak ke Bilik Gerakan BN Dun Sungai Udang di Tangga Batu.

Lawatan beliau kemudiannya ke gerai Mama Yan Selera Kampung di Dun Lendu, Masjid Tanah, seterusnya beramah mesra bersama penduduk di Medan Selera Selandar di Dun Asahan, Alor Gajah dan berakhir di Dun Rim, Jasin, sebelum berangkat pulang ke ibu negara sekitar 2 petang.

Terdahulu, Perdana Menteri turut mengambil kesempatan menyampaikan surat tawaran melanjutkan pelajaran kepada anak pegawai bomba yang lemas ketika menjalankan operasi menyelamat mangsa banjir di Sungai Putat, Ayer Keroh, Oktober lalu.

Ismail Sabri menyerahkan surat tawaran melanjutkan pelajaran dalam bidang automotif di Kolej Komuniti Bukit Beruang itu kepada Muhammad Daniel Hakime, 18, yang juga anak sulung Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh.

Balu Allahyarham, Noraida Che Noh, 39, dilihat sebak melihat hasrat anak sulungnya untuk melanjutkan pelajaran tercapai dan menghargai keprihatinan Perdana Menteri yang turun sendiri untuk menyerahkan surat tawaran berkenaan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memuat naik gambar pertemuannya dengan keluarga Allahyarham Mohd Diya menerusi Instagram.

"Anak-anak masih di usia kecil, sayu melihat mereka. Saya berikan kata-kata semangat untuk teruskan cita-cita dan impian.

"Semoga kita sama-sama sebagai sebuah Keluarga Malaysia dapat memberi kekuatan bagi keluarga arwah dalam menempuh dugaan ini. Al-Fatihah," kata beliau menerusi hantaran itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 5:11 PM