Anggota APMM Perak menunjukkan lokasi dipercayai tiga nelayan dikhuatiri hilang selepas bot dinaiki mereka dilaporkan karam dalam kejadian di Pulau Talang, Pantai Remis, Lumut, malam tadi. FOTO IHSAN APMM
Anggota APMM Perak menunjukkan lokasi dipercayai tiga nelayan dikhuatiri hilang selepas bot dinaiki mereka dilaporkan karam dalam kejadian di Pulau Talang, Pantai Remis, Lumut, malam tadi. FOTO IHSAN APMM
Noor Hidayah Tanzizi


Lumut: Tiga nelayan dikhuatiri hilang selepas bot dinaiki mereka dilaporkan karam dalam kejadian di Pulau Talang, Pantai Remis, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, tiga nelayan tempatan terbabit berusia antara 29 hingga 70 tahun.

Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) diaktifkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas menerima maklumat daripada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi.

Pengarah APMM Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, pihaknya mengerakkan anggota dan bot Perkasa 1223 dan Kilat 11 ke lokasi untuk tindakan lanjut.

Katanya, seorang mangsa sempat menghubungi isterinya dan memaklumkan keadaan bot dinaiki mereka hampir karam.

"Setakat ini, bot yang berpangkalan di jeti Pantai Remis itu masih belum ditemui. Sektor pencarian diperluaskan hingga 42.3 batu nautika persegi.

"Keadaan laut bergelora dengan ketinggian ombak antara satu hingga 2.7 meter dan cuaca tidak menentu di lokasi kejadian menyukarkan operasi Carilamat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, operasi akan diteruskan sehingga jam 7.30 malam ini dan akan bersambung esok bermula 7 pagi, sekiranya mangsa masih tidak ditemui.

"Maklumat sama turut disalurkan kepada Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut, Pasukan Polis Marin Kampung Acheh, dan 'Maritime Component Operation Comander' (MCOC)," katanya.

Katanya, komuniti maritim dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan semasa berada di laut dengan sentiasa memakai jaket keselamatan memandangkan keadaan cuaca kurang baik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 1:36 PM