GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sikap segelintir individu yang lalai terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) selepas lengkap divaksin menyebabkan jumlah kes Covid-19 membabitkan golongan lengkap vaksin meningkat di Sabah.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, hari ini saja lebih separuh daripada kes baharu jangkitan Covid-19 yang dilaporkan di Sabah terdiri daripada individu yang sudah lengkap vaksin.

Beliau berkata, daripada 497 kes yang direkodkan di Sabah pada hari ini, sebanyak 66.8 peratus terdiri daripada individu yang sudah melengkapkan pengambilan vaksin.

"Angka yang tinggi ini agak membimbangkan kerana ia mencerminkan sikap alpa dan tidak peduli sebahagian besar individu yang sudah lengkap divaksin daripada mematuhi semua SOP.

"Mereka mungkin berandaian sudah kebal daripada jangkitan virus selepas melengkapkan pengambilan vaksin. Seperti yang sering kali diingatkan, pengambilan vaksin tidak memberi kita perlindungan 100 peratus daripada jangkitan.

"Ia sekadar melindungi badan kita daripada mengalami kesan jangkitan yang serius yang memerlukan rawatan di hospital dan penjagaan rapi. Hakikatnya kita tidak kebal daripada jangkitan," katanya dalam kenyataan malam ini.

Masidi berkata, walaupun kes jangkitan membabitkan individu lengkap vaksin kebanyakannya berada dalam Kategori Satu dan Kategori Dua yang tidak memerlukan rawatan di hospital, mereka tetap menjadi pembawa virus dan boleh menjangkiti ahli keluarga lain di rumah.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata tiga daerah di negeri ini iaitu Penampang, Papar dan Tenom merekodkan pertambahan kes baharu agak tinggi hari ini.

Katanya, daerah Penampang mencatat 42 kes baharu berbanding 28 kes semalam, manakala 33 kes di Papar berbanding 20 kes semalam dan 29 kes hari ini di Tenom berbanding 17 kes semalam.

Beliau berkata, hanya Kota Kinabalu dan Tuaran mencatat kes jangkitan melebihi angka 50 hari ini, iaitu masing-masing 80 dan 61 kes, manakala dua daerah sifar kes iaitu Nabawan dan Tongod.

Secara keseluruhan, katanya jumlah kes baharu di Sabah hari ini menurun 114 kes kepada 497 kes berbanding 611 kes semalam, manakala lima kes kematian direkodkan iaitu masing-masing satu kes di Keningau, Kota Belud, Kota Kinabalu, Kudat dan Pitas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 November 2021 @ 10:45 PM