Anggota bomba menjalankan khidmat khas membuka pintu Toyota Hilux yang terkunci dari dalam di pekan Batu Niah, Miri, hari ini. FOTO IHSAN JBPM
Anggota bomba menjalankan khidmat khas membuka pintu Toyota Hilux yang terkunci dari dalam di pekan Batu Niah, Miri, hari ini. FOTO IHSAN JBPM
Mohd Roji Kawi


Kuching: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membantu membuka pintu dua kenderaan yang terkunci dari dalam dalam tempoh kurang 15 minit di sini, hari ini.

Dalam kejadian pertama di Desa Pabahanan, Limbang, anggota bomba menerima panggilan daripada seorang lelaki pada 12.43 tengah hari yang meminta bantuan membuka pintu keretanya.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi JBPM Sarawak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang dikejarkan ke lokasi, dan didapati kereta Perodua Myvi terkunci dari dalam.

"Anggota mengumpil sedikit cermin depan kereta itu menggunakan sebatang besi nipis untuk mencapai 'centre release lock' dan berjaya membukanya.

"Selang beberapa minit selepas itu, iaitu pada 1.05 tengah hari, BBP Batu Niah di Miri menerima panggilan kecemasan daripada seorang lelaki juga meminta bantuan membuka pintu keretanya yang terkunci dari dalam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sepasukan anggota dari BBP Batu Niah ke tempat kejadian dan setibanya di lokasi iaitu di depan kedai runcit di pekan Batu Niah, didapati sebuah Toyota Hilux terkunci dari dalam.

"Anggota bomba menggunakan dawai untuk menarik tombol kunci dan pintu berjaya dibuka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 November 2021 @ 6:10 PM