Mayat Lim (bertutup kain) yang maut akibat terjatuh atas batu ketika dalam perjalanan pulang selepas berkelah. FOTO Ihsan Polis
Mayat Lim (bertutup kain) yang maut akibat terjatuh atas batu ketika dalam perjalanan pulang selepas berkelah. FOTO Ihsan Polis
Hamzah Osman


Langkawi: Seorang pembantu kedai maut selepas tergelincir dan jatuh ke atas batu besar di kawasan peranginan Air Terjun Telaga Tujuh di sini, hari ini.

Dalam kejadian 10.30 pagi hari ini, mangsa, Lim Tham Guan, 60, dilaporkan parah dan meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Langkawi Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang selepas berkelah di kawasan air terjun berkenaan.

Katanya, mangsa dipercayai melalui kawasan bercerun sebelum tergelincir dan terjatuh ke atas bongkah batu besar menyebabkan dia cedera parah pada kepala serta badan.

"Mangsa lelaki berkenaan disahkan meninggal dunia oleh kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) yang tiba di tempat kejadian.

"Mayatnya dibawa turun anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menggunakan pengusung," katanya ketika dihubungi.

Shariman berkata, mayat kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha (HSM) bagi menjalani ujian COVID-19 sebelum bedah siasat dapat dilakukan.

Katanya, setakat ini pihaknya mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian ini dan kes diklasifikasi sebagai kematian mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 9:07 PM