X
TAN Sri Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
TAN Sri Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Suraya Roslan dan Yusmizal Dolah Aling
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pemberian vaksin dos penggalak perlu dipergiatkan bagi memastikan kes Covid-19 tidak meningkat semula dengan mendadak.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tindakan itu perlu susulan terdapat bukti daripada kajian 'Real World Data' bahawa terdapat kesan pengurangan imuniti terhadap SARS-CoV-2 selepas beberapa bulan lengkap vaksinasi, dan berlaku peningkatan kes jangkitan semula Covid-19 dalam kalangan penerima vaksin.

Selain itu, katanya, kemunculan varian membimbangkan (VOC) juga memberi kesan yang mana ia lebih mudah merebak dan mampu merebak di dalam komuniti dalam tempoh singkat.

"Kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau nilai R-naught mengikut jangkaan kes harian pada 11 November untuk seluruh negara juga meningkat kepada 1.0, kira-kira lima minggu selepas pergerakan rentas negeri dibenarkan.

"Jika lihat situasi sebelum ini, trend peningkatan kes juga dilihat antara lima sehingga enam minggu selepas kebenaran rentas negeri diberikan pada 7 Disember 2020.

"Jadi, kedua-dua faktor ini menjadi peringatan awal kepada kita semua supaya tindakan secara aktif perlu diambil bagi memastikan kes Covid-19 tidak meningkat semula dengan mendadak, antaranya mempergiatkan pemberian vaksin dos penggalak," katanya pada sidang media hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pemberian dos penggalak serta dos tambahan juga adalah selari dengan saranan yang diberikan oleh Kumpulan Penasihat Saintifik untuk Kecemasan (SAGE), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terutama kepada golongan mempunyai imuniti rendah dan warga emas berusia 60 tahun dan ke atas.

Katanya, kumpulan barisan hadapan juga diutamakan.

Beliau berkata, panel Pakar Perubatan KKM meneliti keberkesanan serta keselamatan dos penggalak daripada pelbagai sumber dan mendapati satu dos penggalak mampu meningkatkan tahap imuniti terhadap Covid-19.

Menurutnya, golongan yang diberikan keutamaan untuk menerima dos tambahan serta dos penggalak diperincikan di dalam Surat Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan Bil 17/2021 bertarikh 17 Oktober dan mereka sedang dalam fasa pemberian dos berkenaan.

"Strategi KKM seterusnya adalah meluaskan pemberian dos penggalak kepada individu berusia 18 tahun ke atas dengan komorbiditi, individu berusia 40 tahun ke atas, ibu mengandung, petugas barisan hadapan selain petugas kesihatan.

"Pemilihan vaksin bergantung kepada kelulusan regulatori dan kelulusan indikasi penggunaan oleh pakar perubatan merawat sama ada daripada jenis homologous atau heterologous dengan dos primer terakhir.

"Setakat ini hanya vaksin Comirnaty diberikan kelulusan sebagai dos penggalak secara homologous selepas tempoh enam bulan menerima dos primer.

"Sementara vaksin lain dalam proses semakan oleh panel pakar dan regulatori," katanya.

Beliau berkata, sehingga semalam, dianggarkan sebanyak 144.57 juta dos penggalak diberikan di peringkat global manakala sebanyak 825,497 dos diberikan di Malaysia.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 5:14 PM