SERAMAI 27 PATI diusir selepas cuba memasuki Sarawak melalui jalan tikus di Biawak, Lundu, malam tadi. FOTO ihsan Markas 1 Div
SERAMAI 27 PATI diusir selepas cuba memasuki Sarawak melalui jalan tikus di Biawak, Lundu, malam tadi. FOTO ihsan Markas 1 Div
Mohd Roji Kawi


Kuching: Cubaan 27 pendatang asing tanpa izin (PATI) menyusup masuk ke negeri ini melalui jalan tikus gagal apabila kegiatan mereka dihidu pasukan keselamatan di Biawak, Lundu, malam semalam.

Jurucakap Sel Perhubungan Raya, Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia berkata, sepasukan anggota tentera yang melakukan rondaan Ops Benteng berdekatan sebuah ladang kelapa sawit mengesan kehadiran mereka pada 8.30 malam.

Menurutnya, kesemua Pati terbabit kemudian ditahan dan hasil pemeriksaan mendapati mereka tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada 21 lelaki dan enam wanita berusia 16 hingga 55 tahun.

"Susulan itu, kesemua Pati terbabit diusir balik ke negara asal mereka menggunakan laluan yang sama dan laporan polis dibuat di Balai Polis Lundu," katanya.

Katanya, kesemua Pati terbabit dipercayai nekad memasuki negeri ini dengan menggunakan laluan tikus bagi mencari pekerjaan disebabkan desakan dan tekanan hidup di negara mereka.

"Bagaimanapun, pasukan Tentera Darat yang bertugas di sempadanan Sarawak-Kalimantan Barat sentiasa bersiap siaga dan komited mengawal keselamatan dan memastikan kedaulatan negara.

"Kita akan terus memastikan tiada sebarang pencerobohan Pati mahupun sebarang bentuk jenayah rentas sempadan berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 4:20 PM