KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
BERNAMA

Kuala Lumpur: Rakyat Malaysia digesa mengamalkan gaya hidup sihat dengan mengurangkan pengambilan gula dalam diet masing-masing, memandangkan penyakit kencing manis dan 'budaya gula' kini semakin menjadi norma biasa dalam komuniti.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penyakit kencing manis atau diabetes antara masalah utama di Malaysia, dengan satu daripada lima orang dewasa dalam negara mengalami penyakit itu dengan risiko komplikasi serius.

Beliau berkata, menurut data Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019, prevalens diabetes dalam kalangan orang dewasa Malaysia berumur 18 tahun ke atas meningkat daripada 11.2 peratus pada 2011 kepada 13.4 peratus pada 2015, manakala pada 2019 ia berjumlah 18.3 peratus atau membabitkan 3.9 juta daripada populasi dewasa.

"Diabetes menjejaskan tubuh badan kita membabitkan mata, buah pinggang dan sistem saraf, disusuli dengan komplikasi lain seperti tekanan darah tinggi dan serangan jantung.

"Ia adalah 'resipi' kepada penyakit yang kini menjadi pembunuh nombor satu di Malaysia," katanya semasa berucap di Forum Hari Diabetes Sedunia 2021 dianjurkan secara maya dengan tema 'Access to Diabetes Care in a century of insulin discovery', di sini, hari ini.

Turut hadir sebagai panel forum ialah Timbalan Pengarah (Penyakit Tidak Berjangkit) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Feisul Idzwan Mustapha dan Ketua Unit Endokrin Hospital Putrajaya, Datuk Dr Zanariah Hussein.

Sementara itu, Dr Feisul berkata, kerajaan sedar dengan isu ini, dan membangunkan strategi dalam Rancangan Malaysia Ke-12 bagi meningkatkan usaha memerangi penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, serangan jantung dan kanser.

"Dengan meningkatkan program kesedaran serta usaha saringan di samping inisiatif dan dasar peringkat makro, kementerian berharap dasar lain seperti lanjutan cukai gula diumumkan dalam Bajet 2022 dapat membantu rakyat Malaysia menguruskan pengambilan tinggi minuman manis semasa dengan lebih baik, " katanya.

Sementara itu Dr Zanariah yang juga pakar perubatan perunding dan ahli endokrinologi berkata, beliau tidak sabar untuk melihat lebih banyak perkembangan yang membolehkan doktor memberikan penjagaan lebih baik kepada penghidap diabetes.

"Kita telah melangkah jauh sejak penemuan insulin, tetapi rawatan dan pengurusan diabetes akan melihat satu set cabaran berbeza terutama dalam dunia pasca pandemik.

"Daripada menggunakan pendekatan bersepadu dalam penjagaan kepada meningkatkan penggunaan teknologi digital dalam penglibatan kita dengan pesakit, kita berharap untuk melihat lebih banyak perkembangan," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 6:38 PM