KAWASAN rumah penduduk di Kampung Parit Pulai dinaiki air. FOTO Ihsan APM.
KAWASAN rumah penduduk di Kampung Parit Pulai dinaiki air. FOTO Ihsan APM.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Tangkak, dekat sini, hari ini selepas rumah penduduk di Kampung Parit Pulai dinaiki air.

Menurut kenyataan dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tangkak, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Serom 8 dibuka pada 4 petang dan menempatkan 10 mangsa daripada dua keluarga.

"Hujan berterusan sejak lewat petang semalam menyebabkan kawasan rendah terutama Kampung Parit Pulai dinaiki banjir kilat.

"Saliran parit utama sepanjang kampung berkenaan turut dipenuhi air. Pemantauan di kawasan berkenaan masih dilakukan," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Johor Kolonel Kamal Mokhtar berkata, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) beroperasi 24 jam di semua 10 daerah di Johor bagi menghadapi Monsun Timur Laut.

Katanya, seramai 200 petugas APM diarah bersiap siaga setiap hari bagi persediaan menghadapi apa-apa jua kes kecemasan atau bencana terutama banjir.

"Ketika Monsun Timur Laut, kebiasaan luruhan monsun akan berlaku yang menyebabkan hujan lebat berpanjangan.

"Johor khususnya di bahagian pantai timur akan terkesan dengan fenomena ini dan ia boleh menyebabkan kejadian banjir.

"Sehubungan itu, bagi menghadapi sebarang kemungkinan, APM Johor telah sedia dari segi keanggotaan, aset dan logistik selain strategi pengoperasian sebelum, semasa dan selepas bencana banjir, bagi memastikan bantuan segera dapat disalurkan.

"Kita berharap penduduk di kawasan berisiko banjir sentiasa bersiap sedia dan mematuhi arahan sekiranya pemindahan perlu dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 6:26 PM