GAMBAR hiasan. FOTO ARKIB NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO ARKIB NSTP
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kenaikan harga ayam dipengaruhi faktor ketidakseimbangan antara permintaan dan penawaran bekalan berikutan masalah dialami pembekal terutama penternak.

Penasihat Kehormat Persatuan Penternak Ayam Selangor, Datuk Ishak Mat Arif berkata, penternak terpaksa menanggung kos peningkatan operasi, namun pada masa sama tidak dapat membekalkan ayam mengikut permintaan pengguna disebabkan masalah di peringkat pengeluaran.

"Antara faktor utama ialah makanan atau dedak ayam iaitu jagung diimport dari luar negara tidak berkualiti hingga menjadikan pembesaran ayam lambat serta peningkatan kos operasi seperti harga makanan ayam.

"Malah, ada beberapa tempat tertentu berlaku banyak kematian ayam kerana dijangkiti virus Newcastle Disease (ND) atau penyakit sampar ayam.

"Pada masa sama, beberapa kelonggaran peraturan Covid-19 seperti kebenaran penganjuran majlis dan sebagainya menjadikan permintaan tinggi melebihi penawaran bekalan," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu peningkatan harga ayam pada masa ini.

Menurutnya, kerajaan perlu mencari mekanisme baharu untuk penyelesaian isu itu secara jangka panjang.

"Kita tidak boleh lagi bergantung kepada makanan ayam dari luar negara.

"Kerajaan perlu mencari kaedah lain mendapatkan bekalan sendiri dengan penanaman jagung untuk pengeluaran jagung berkualiti bagi menjimatkan kos yang akhirnya dapat memberikan harga rendah kepada pengguna.

"Saya tidak setuju dengan cara import kerana ia cuma penyelesaian jangka pendek yang akan menyebabkan penternak gulung tikar dan lama kelamaan penternak semakin kurang dan akhirnya mungkin satu hari nanti kita kekurangan makanan untuk rakyat," katanya.

Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menetapkan ayam sebagai barangan kawalan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali bermula 1 hingga 7 November lalu pada harga RM9.50 sekilogram, namun harga ayam mula menunjukkan trend peningkatan kepada RM9.90 sekilogram minggu ini.

Semalam dan hari ini, beberapa peniaga ayam mendedahkan mereka terpaksa menaikkan harga disebabkan kenaikan harga itu sudah berlaku di peringkat bekalan pemborong.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 4:40 PM