GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Ahli perniagaan wanita kerugian RM310,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai bank yang mendakwa kad kredit mangsa digunakan dalam jumlah besar, Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 55 tahun itu, kelmarin.

"Siasatan mendapati mangsa diminta menghubungi 'Bank Negara Malaysia' melalui nombor telefon diberikan. Dalam perbualan bersama suspek, mangsa diminta untuk mendedahkan maklumat perbankan.

"Mangsa menyedari dirinya ditipu apabila menerima mesej memaklumkan beberapa transaksi dari akaunnya ke akaun yang tidak dikenal pasti," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Mohd Mahidisham menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat terperinci pihak berkuasa yang berhubung mengenai sebarang siasatan seperti nama, pangkat pemanggil serta tempat bertugas bagi mengelak menjadi mangsa Macau Scam.

"Mereka juga dinasihatkan membuat panggilan semula kepada agensi berkenaan melalui talian rasmi dan tidak mendedahkan maklumat akaun serta OTP dan TAC (laluan guna sekali dan kod verifikasi) kepada pihak ketiga melalui panggilan telefon," katanya.

Orang ramai mempunyai maklumat kegiatan jenayah boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/0585 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 9:21 PM