Malaysia boleh berbangga dengan produk dan jenama tempatan yang bukan sahaja berjaya di pasaran lokal malah mampu menembusi pasaran antarabangsa. - FOTO Hiasan
Malaysia boleh berbangga dengan produk dan jenama tempatan yang bukan sahaja berjaya di pasaran lokal malah mampu menembusi pasaran antarabangsa. - FOTO Hiasan
Hanis Aliaa Hidzir

SEBAGAI sebuah negara kecil dengan populasi 32 juta penduduk, Malaysia sering kali membuktikan kehebatan di persada dunia apabila melahirkan ramai tokoh berkaliber dalam pelbagai bidang.

Selain itu, Malaysia juga boleh berbangga dengan produk dan jenama tempatan yang bukan sahaja berjaya di pasaran tempatan malah mampu menembusi pasaran antarabangsa.

Jenama seperti Khind, Padini, Bonia, Ogawa dan banyak lagi produk yang membina nama di pasaran global sehingga ramai menganggap jenama berkenaan adalah produk antarabangsa.

Kini, ramai usahawan tempatan mengorak langkah membangunkan jenama tempatan supaya mendapat tempat di hati pengguna.

Justeru, rakyat Malaysia perlu menyokong jenama tempatan serta membuang stigma produk tempatan tidak berkualiti kerana jenama tempatan kini berjaya menjejaki tangga antarabangsa.

Pupuk rasa cintakan produk tempatan

Kajian UOB ASEAN Consumer Sentiment menunjukkan pada tahun 2020, 69 peratus pengguna di Malaysia cenderung membeli dari pengusaha tempatan bagi membantu meningkatkan jualan dan pendapatan perniagaan berkenaan.

Angka ini lebih tinggi berbanding negara jiran seperti Thailand, Vietnam dan Singapura.

Sementara itu, Indonesia menunjukkan 72 peratus pengguna cenderung membeli dengan pembeli tempatan sekali gus menunjukkan pilihan pengguna lebih tinggi untuk produk tempatan.

Kajian ini diperkukuhkan lagi dengan kejayaan nilai jualan berjumlah RM3.3 bilion berbanding tahun 2019 iaitu sebanyak RM2.87 juta.

Angka ini boleh meningkat lebih tinggi pada tahun hadapan dengan sokongan padu rakyat Malaysia.

Justeru, penting untuk rakyat Malaysia menyokong dan menerapkan semangat cintakan produk tempatan bagi menghasilkan kualiti produk terbaik serta mewujudkan lebih banyak jenama tempatan.

Beli barangan tempatan

Image

Bagi memastikan produk tempatan terus mendapat tempat di hati pengguna, kerajaan tampil mengadakan karnival jualan 'Kempen Beli Barangan Malaysia' yang dianjurkan setiap tahun bagi memberi peluang untuk masyarakat berbelanja pada harga berpatutan.

Bagi tahun 2021, karnival jualan ini akan diadakan di Dataran Cenang, Pulau Langkawi selama empat hari mulai 11 sehingga 14 November 2021 dan akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid.

Karnival jualan besar-besaran ini menampilkan pelbagai produk tempatan termasuk produk penjagaan rambut, makanan dan produk berteraskan kraftangan.

Lebih menarik, pelbagai aktiviti turut disertakan dalam karnival ini seperti bicara kepenggunaan, persembahan muzikal buskers, persembahan kebudayaan, cabutan bertuah dan kuiz dengan pelbagai hadiah menarik yang ditawarkan.

Image

Image

Ayuh meriahkan karnival jualan 'Kempen Beli Barangan Malaysia' kerana sebagai pengguna, kemampuan mengubah landskap ekonomi berada di tangan kita.

#barangbaikbarangkita

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 6:45 PM