DATUK Seri Mohamad Hasan (kiri) bersama Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali (kanan) ketika sidang media Manifesto Barisan Nasional di Taman Botanikal, Ayer Keroh, Melaka. FOTO Syafeeq Ahmad
DATUK Seri Mohamad Hasan (kiri) bersama Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali (kanan) ketika sidang media Manifesto Barisan Nasional di Taman Botanikal, Ayer Keroh, Melaka. FOTO Syafeeq Ahmad
Mohd Nasaruddin Parzi


Melaka: Barisan Nasional (BN) terbuka untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) bagi menubuhkan sebuah kerajaan negeri yang lebih stabil selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, BN khususnya Umno tidak melihat pertembungan antara calonnya dengan calon Pas dalam PRN kali ini sebagai alasan untuk tidak lagi boleh bekerjasama.

"Kita terbuka dan apa yang kita mahu perlu ada parti teras (menerajui kerajaan negeri). Kalau mahu kestabilan, formulanya kena ada parti teras untuk tubuhkan kerajaan.

"Kita tidak mahu lagi dan jangan ada pihak yang cuba menggugat, kerajaan akan jatuh, rakyatlah yang susah," katanya selepas melancarkan manifesto BN di sini, hari ini.

Beliau berkata, pengundi di Melaka perlu memilih parti yang terbukti memiliki rekod kejayaan dalam mentadbir kerajaan negeri.

"Kalau ada rakan-rakan (parti dalam PN) mahu bersama dengan kita, tiada isu pun, tetapi kita tidak mahu ada ugutan, satu keadaan di mana kerajaan, Ketua Menteri sentiasa diugut setiap hari," katanya.

Bagi memastikan BN menjadi parti teras itu, Mohamad berkata, jentera parti perlu terus bekerja kuat dan bersemangat untuk memenangkan semua calon BN dalam PRN kali ini.

"Ada 28 kerusi, kita perlu bekerja kuat sebab tiada yang senang. Ini pertandingan, kita mesti serius, mesti buat gerak kerja teratur.

"BN yakin boleh menubuhkan kerajaan Melaka selepas ini," katanya.

Menyentuh calon Ketua Menteri Melaka, beliau berkata, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang kini memikul tugas sebagai Ketua Menteri sementara adalah calon tunggal bagi kedudukan itu jika BN menang.

Sementara itu, Mohamad juga yakin calon BN yang ditampilkan dalam PRN kali ini juga tidak akan terbabit dengan tindakan lompat parti selepas ini.

Semua 28 calon BN yang bakal dipertaruhkan pada PRN Melaka sudah menandatangani surat akuan bersumpah (SD) bagi mengelakkan tindakan lompat parti selepas memenangi kerusi atas tiket parti itu.

  • Lagi berita berkaitan PRN Melaka
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 5:49 PM