PENIAGA ayam, Ghazali Ismail, 60.
PENIAGA ayam, Ghazali Ismail, 60.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: "Kita hendak jual murah kepada pembeli tetapi apa pilihan yang kami ada kerana bekalan ayam diperoleh dari pemborong juga dibeli pada harga mahal," kata peniaga ayam, Ghazali Ismail, 60.

Ghazali yang berniaga di Pasar Kajang berkata, dia menjual ayam pada harga RM9.90 sekilogram hari ini berbanding RM9.50 kilogram semalam kerana kenaikan harga bekalan itu di peringkat pemborong.

"Saya mendapatkan bekalan ayam daripada pemborong di Semenyih. Apabila harga yang dijual pemborong kepada peniaga naik, kami juga terpaksa menaikkan harga.

"Memang ada ramai pembeli yang bising dan kenaikan harga itu menyebabkan sambutan (pembelian) tidak menggalakkan, namun tiada apa yang boleh kami buat kerana harga di peringkat pemborong sudah naik," katanya ketika ditemui di Pasar Kajang, di sini, hari ini.

Menurutnya, dia turut berdepan kesukaran mendapatkan bekalan ayam daripada pemborong apabila tempahannya tidak dapat dipenuhi pembekal.

"Setiap hari, saya minta pemborong menyediakan 150 ekor ayam. Namun, mereka (pemborong) hanya beri antara 80 ke 90 ekor ayam sahaja dengan alasan kekurangan bekalan.

"Ini secara tidak langsung menyebabkan kami turut kurang bekalan untuk dijual kepada pembeli selain terpaksa menjual pada harga mahal.

"Saya harap ada tindakan daripada pihak berkuasa berkaitan isu ini dengan mengambil tindakan memantau harga bekalan di peringkat pemborong selain memastikan bekalan itu sentiasa mencukupi," katanya.

Seorang lagi peniaga ayam, Saiful Nizam Mohamed Yunus, 32, berkata, masalah kekurangan bekalan ayam dialami kebanyakan peniaga sudah berlarutan sejak tiga minggu lalu.

"Selalunya saya akan menempah kira-kira 150 ekor ayam daripada pemborong untuk dijual setiap hari.

Namun, pemborong hanya boleh membekalkan kira-kira 100 ayam sehari kerana kekurangan bekalan.

"Masalah kekurangan bekalan ini sudah kami lalui sejak tiga minggu lalu. Ketika sambutan perayaan Deepavali tempoh hari, masalah itu menyebabkan kami kurang bekalan untuk dijual kepada pembeli.

"Sehingga semalam, kami menjual pada harga kawalan ditetapkan KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) iaitu pada harga RM9.50 sekilogram dan harga itu naik kepada RM9.90 sekilogram hari ini," katanya.

Sementara itu, suri rumah, Adriani Abdullah, 40, berkata, kenaikan harga ayam jelas dirasai apabila kebanyakan premis menjual bekalan berkenaan pada harga tinggi berbanding ketika musim perayaan Deepavali.

"Saya lihat harga ayam memang kerap naik dan ketika sambutan Deepavali tempoh hari, sukar untuk saya mendapatkan bekalan ayam. Walaupun sekarang tiada masalah untuk dapatkan bekalan ayam, namun harga ayam pula naik.

"Saya beli juga ayam kerana ia adalah satu keperluan makanan untuk keluarga, namun saya beli dalam kuantiti yang sedikit kerana harganya mahal," katanya.

Tinjauan wartawan Harian Metro di Pasar Kajang mendapati rata-rata peniaga menjual ayam pada harga RM9.90 sekilogram.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 2:51 PM